BAITULMAQDIS – Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mengarah tenteranya untuk menghentikan kapal layer yang membawa aktivis termasuk Greta Thunberg dari Sweden yang merancang untuk menentang sekatan Israel dan sampai ke Gaza.
Dikendalikan oleh Gabungan Flotilla Kebebasan (FFC) yang pro-Palestin, kapal Madleen yang berbendera British berlayar dari Sicily pada 6 Jun lalu dan kini berada di luar pantai Mesir, menuju ke Semenanjung Gaza, yang dikepung oleh Israel.
“Saya mengarahkan IDF untuk bertindak supaya Madleen … tidak sampai ke Gaza.
“Kepada Greta yang antisemitik dan rakan-rakannya yang menyebarkan propaganda Hamas, saya katakan dengan jelas: Lebih baik kamu berpatah balik, kerana kamu tidak akan sampai ke Gaza,” kata Katz dalam satu kenyataan.
Aktivis Thunberg berkata, dia menyertai krew Madleen untuk “mencabar kepungan haram Israel dan jenayah perang yang semakin meningkat” di Gaza dan menyerlahkan keperluan mendesak untuk bantuan kemanusiaan.
Thunberg juga menolak tuduhan antisemitisme Israel terhadapnya sebelum ini.
Israel melancakan perang di Gaza pada Oktober 2023 selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel selatan, membunuh lebih 1,200 orang dan membawa 251 tebusan kembali ke enklaf itu, menurut pengiraan Israel.
Lebih 54,000 rakyat Palestin telah terkorban semasa serangan Israel yang berterusan, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dengan sebahagian besar wilayah Palestin menjadi runtuhan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza menghadapi risiko kebuluran.
Katz berkata, sekatan itu penting untuk keselamatan Israel kerana perang yang berlangsung bertujuan untuk menghapuskan Hamas.
“Israel tidak akan membenarkan sesiapa pun memecahkan sekatan tentera laut di Gaza, yang tujuan utamanya adalah untuk menghalang pemindahan senjata kepada Hamas,” katanya. – Agensi
















