Garis panduan yang didakwa ditulis pada papan tanda sebuah kolam renang di wilayah Gyeonggi, Korea Selatan. Foto Internet

SEOUL – Satu papan tanda kolam renang persendirian di Wilayah Gyeonggi mencetuskan kemarahan warga net kerana dilihat memperlekeh individu berpendapatan rendah.

Ia susulan penularan sekeping foto yang menunjukkan papan tanda bertajuk “Garis Panduan Penggunaan Kolam Renang” di komuniti dalam talian dan platform media sosial, hari ini.

Antara garis panduan yang disenaraikan ialah “Kolam renang bukan tempat untuk menyental sel kulit mati,” “Mandilah dengan sabun sebelum masuk ke kolam,” dan “Pakai topi renang.”

Namun, peraturan terakhir iaitu “kekeruhan air selepas digunakan mencerminkan tahap pendapatan anda serta kajian menunjukkan bahawa semakin rendah pendapatan seseorang, semakin kurang tahap kebersihannya,” telah mencetuskan kontroversi.

Seorang pengguna yang memuat naik gambar itu menulis, “ini adalah kolam renang persendirian di Wilayah Gyeonggi. Bagaimana mereka boleh secara terbuka menyatakan kebencian terhadap golongan miskin? Masyarakat kita dibelenggu dengan fahaman kelas dan penghinaan terhadap kemiskinan. Ini satu isu yang serius.”

Netizen meluahkan kemarahan dengan menulis, “Apa kaitan kebersihan kolam dengan pendapatan?” dan “Ini adalah diskriminasi yang jelas,” manakala ada yang bertanya, “Mengapa ada yang sanggup guna bahasa sebegitu menghina?”

Pihak pengurusan kolam renang tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. -Agensi

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast