KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada kerajaan serta rakyat India susulan tragedi menyayat hati melibatkan pesawat Air India yang terhempas dan meragut lebih 200 nyawa penumpang dan anak kapal.
Ketua Whip Ahli Parlimen perikatan itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kejadian berkenaan amat memberi kesan.
“Dalam saat yang penuh dukacita ini, doa dan ingatan kami bersama keluarga serta orang tersayang mangsa-mangsa tragedi. Kami turut berdukacita dan berkongsi kesedihan kalian,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, beliau berharap supaya semua pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi menyelamat dan siasatan diberikan kekuatan dapat melaksanakan tugas dengan penuh teliti dan berperikemanusiaan.
“Malaysia berdiri teguh bersama India dalam saat-saat sukar ini,” tambah mereka.
Terdahulu, Ketua Polis Ahmedabad memaklumkan seramai 242 mangsa penumpang pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas semalam terkorban.
Difahamkan, pesawat itu membawa 10 kru kabin dan dua juruterbang bersama 169 warga India, Britain (53), Portugal (7) dan Kanada (1) serta kanak-kanak (11).
Rangkaian media melaporkan ia terhempas di sebuah asrama doktor dan meragut sejumlah nyawa pelajar perubatan di bandar berpopulasi padat di negeri Gujarat, India itu.
Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan tiada warga Malaysia terlibat dalam nahas Air India yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad pada 12 Jun 2025.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral di Mumbai sedang memantau rapat perkembangan situasi ini dan akan mengeluarkan makluman lanjut sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan tiada warga Malaysia terlibat dalam nahas berkenaan.-MalaysiaGazette
















