SHAH ALAM – Semua pihak termasuk syarikat pengusaha bas boleh melakukan semakan rekod lampau terhadap mana-mana pemandu sebagai langkah tapisan sebelum diterima dan ditawarkan pekerjaan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tidak wajar menyalahkan kerajaan apabila segelintir pemandu bas masih dibenarkan membawa pengangkutan awam itu meskipun mempunyai puluhan rekod buruk lalu lintas.
“Sebenarnya syarikat bukannya tidak boleh semak, boleh sahaja semak. Siapa-siapa pun boleh semak. Sekarang pula apabila berlaku insiden, semua salahkan kerajaan. Semua salah Kementerian Pengangkutan walhal syarikat sebenarnya boleh semak.
“Lepas itu, anda boleh tahu berapa banyak saman yang pemandu itu ada tapi kenapa syarikat atau pengusaha tidak buat semakan?
“Mahu semak saman senang sahaja, ramai yang semak saman ahli politik. Saya punya saman, semua orang boleh semak. Ini masalah saya katakan, kita kena lihat secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rabu lalu, mesyuarat Jemaah Menteri bersepakat untuk membangunkan pangkalan data bagi memeriksa rekod lampau pemandu bas, termasuk kesalahan lalu lintas.
Anthony berkata, pangkalan data ini dibangunkan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya mana-mana pemandu bas yang mempunyai rekod lampau akan dapat disenarai hitam.
Menurut beliau, ia boleh dijadikan rujukan kepada syarikat bas ketika mengambil pemandu untuk bekerja di bawah mereka bagi mengelakkan menggaji pemandu tidak berwibawa. – MalaysiaGazette
















