Hakim Datuk Noorin Badaruddin. Gambar ihsan laman web mahkamah.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan berpendapat, tiada keterangan menunjukkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima satu sen pun daripada pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Armada.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berpuas hati, keterangan dua saksi pendakwaan menyatakan wang yang dibelanjakan daripada pengeluaran RM1 juta itu bertujuan melaksanakan program dan aktiviti Armada.

Sehubungan itu, mahkamah bersetuju dengan hujahan pasukan pembelaan bahawa pengeluaran wang tidak bersesuaian dengan mana-mana elemen actus reus di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Actus reus bermaksud perbuatan fizikal atau tindakan yang membentuk elemen penting dalam kesalahan jenayah.

Hakim Noorin menyatakan demikian dalam penghakiman bertulis ketika membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Gambar ihsan laman web mahkamah.

Terdahulu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Azman Abdullah. Gambar ihsan laman web mahkamah.

Ketika membacakan penghakiman penuh setebal 68 muka surat selama lebih sejam, Hakim Noorin berkata, pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Armada atas arahan Syed Saddiq tidak boleh dianggap telah diguna atau dilupuskan dengan cara yang melanggar Perlembagaan Bersatu.

Menurut beliau, Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu menyatakan, perbelanjaan yang melebihi RM500,000 pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi.

Bagaimanapun, mahkamah berpuas hati, keterangan tiga saksi pendakwaan menyatakan wang yang dibelanjakan daripada RM1 juta yang dikeluarkan itu adalah di bawah RM500,000.

Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati wang yang dibelanjakan daripada RM1 juta yang dikeluarkan itu tidak perlu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi Bersatu.

“Panel itu berpuas hati, tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang melarang secara nyata pengeluaran wang melebihi RM500,000 tanpa kelulusan Majlis Tertinggi Bersatu,” ujarnya.

Hakim Noorin turut menyatakan, panel itu mendapati tiada bukti yang menunjukkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali (SP13) telah mengeluarkan wang RM1 juta itu secara tidak jujur.

Mahkamah menyatakan, ketika ditanya di mahkamah mengapa `clearkan’ wang RM1 juta itu kepada dua pihak iaitu SP8 dan SP9, Rafiq memberitahu, beliau mendapat arahan Syed Saddiq.

Oleh yang demikian, SP13 tidak boleh dikatakan telah mengagihkan wang tersebut secara tidak jujur.

Maka, pertuduhan prinsipal iaitu pecah amanah, adalah tidak berasas.

Mahkamah berpandangan, tindakan mengarah pengeluaran wang tidak boleh disamakan dengan arahan melupuskan seperti tarkrifan Seksyen 405.

Mahkamah berpendapat, mesti wujud pengunaan atau pengagihan wang secara benar, dan dalam keadaan itu, SP8 dan SP9 telah memberi keterangan dan mengesahkan bahawa semua wang yang dibelanjakan daripada pengeluaran RM1 juta itu digunakan untuk program atau aktiviti Armada.

Sehubungan itu, mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam bahawa pengeluaran wang tidak bersesuaian dengan mana-mana elemen actus reus seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 405. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Parti setahun jagung, terma undang-undang pun tidak jelas. Macam mana nak lawan. Sebab itu lah ramai YB mereka jadi katak.

Comments are closed.