Suasana di rumah milik mangsa bunuh yang merupakan pelajar universiti berumur 20 tahun di Mutiara Ville, Cyberjaya. Foto SADIQ SANI, 26 JUN 2025

CYBERJAYA – Polis memperoleh beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pelbagai lokasi dalam usaha mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang penuntut wanita sebuah universiti di Cyberjaya, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakaman-rakaman tersebut diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk fasiliti dan premis sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

“Rakaman ini akan dianalisis secara menyeluruh bagi tujuan pengecaman suspek serta membantu pihak kami mengecilkan kawasan pencarian dan pergerakan suspek selepas kejadian.

“Ini merupakan antara langkah penting dalam mempercepatkan proses pengesanan individu yang bertanggungjawab,” katanya kepada media hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan kepada MalaysiaGazette bahawa kediaman di mana mayat mangsa ditemui adalah asrama pelajar yang disediakan pihak universiti.

“Ya, unit berkenaan merupakan hostel yang digunakan oleh pelajar universiti dan disediakan oleh pihak institusi pengajian tinggi terbabit untuk kemudahan penginapan pelajar,” jelas beliau ketika dihubungi.

Polis disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan mangsa berbangsa Punjabi berusia 20 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.

Difahamkan mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu dan keputusan itu diambil kerana beliau dijadualkan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast