Friday, September 4, 2026
Home Dunia Perancis arah 2.5 juta kereta ditarik balik akibat beg udara rosak

Perancis arah 2.5 juta kereta ditarik balik akibat beg udara rosak

Gambar hiasan

PARIS — Perancis arah tarik balik 2.5 juta kereta yang mengalami kerosakan beg udara dan berpotensi meletup semasa pelanggaran serta telah menyebabkan beberapa kematian.

Arahan itu dikeluarkan susulan satu kemalangan maut di Reims, timur Paris, awal bulan ini apabila seorang wanita berusia 37 tahun yang memandu Citroën C3 maut selepas terkena serpihan logam yang terpelanting ke kepalanya akibat perlanggaran kecil.

Kes tersebut merupakan episod terbaharu dalam skandal selama 20 tahun membabitkan pengeluar Jepun Takata (yang kini sudah tidak beroperasi), di mana beg udara keluarannya telah dipasang oleh hampir semua pengeluar kereta utama dunia.

Beg udara terbabit menggunakan gas ammonium nitrat untuk pengembangan segera, tetapi gas tersebut boleh merosot dalam keadaan panas dan lembap, menyebabkan letupan kuat yang menyebabkan serpihan logam tercampak ke arah muka pemandu.

Kementerian Pengangkutan Perancis pada Selasa mengeluarkan arahan “jangan pandu” terhadap kereta daripada semua jenama yang menggunakan beg udara Takata di Corsica dan wilayah seberang laut Perancis.

Arahan tersebut dikuatkuasakan serta untuk kereta yang dibuat sebelum 2011 di tanah besar Perancis.

Perbezaan kawasan ini disebabkan oleh iklim yang lebih panas seperti di Caribbean dan Mediterranean, yang mempercepatkan kerosakan beg udara tersebut. Daripada 18 kematian di Perancis akibat beg udara ini, 16 daripadanya berlaku di wilayah seberang laut.

Jumlah kenderaan yang terjejas dianggarkan sebanyak 1.7 juta, dan kementerian juga memaklumkan bahawa 800,000 pemilik kereta keluaran selepas 2011 di tanah besar Perancis perlu melaporkan kepada pengedar masing-masing untuk menukar beg udara mereka.

Langkah ini adalah peningkatan besar berbanding tindakan awal selepas tragedi di Reims, yang hanya membabitkan penggantungan penggunaan model Citroën tertentu — iaitu C3 dan DS3.

“Keputusan ini bertujuan memberi isyarat tegas kepada pengeluar, dan pada masa yang sama menggalakkan pemilik untuk memeriksa kenderaan mereka secepat mungkin,” kata kementerian itu.

Langkah ini dijangka mengganggu kehidupan ramai keluarga, lebih-lebih lagi beberapa minggu menjelang musim cuti musim panas. Kementerian berkata semua pemandu yang terjejas akan disediakan kenderaan ganti secara percuma sehingga beg udara mereka ditukar.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, pengeluar kereta Stellantis — yang menghasilkan Citroën C3 dan DS3 — berkata mereka “komited untuk bertindak cepat dan dengan penuh ketelusan” dalam menyediakan penyelesaian kepada pelanggan mereka.

Dianggarkan 35 orang telah maut akibat beg udara Takata di seluruh dunia, dan sebanyak 100 juta kenderaan telah ditarik balik di pelbagai negara.

Skandal ini pada awalnya lebih tertumpu di Amerika Syarikat, namun sejak dua tahun lalu baru menular ke Eropah. Bahagian UK bagi syarikat Stellantis juga telah mengeluarkan arahan henti pandu untuk kereta Citroën C3 dan DS3 minggu ini.

Peguam dan keluarga mangsa turut berkumpul di Paris pada Selasa untuk membincangkan kemungkinan tindakan undang-undang.

“Kadar kemalangan semakin meningkat. Sejak Januari 2025, terdapat satu kematian setiap dua bulan,” kata peguam Charles-Henri Coppet.

“Sudah tiba masa untuk memaksa pengeluar mengeluarkan arahan penarikan balik dan memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya. Jika tidak, lebih ramai akan mati.”

“Jika ayah saya tidak menggunakan beg udara Takata, dia masih hidup hari ini,” kata Vicky, seorang wanita dari Guadeloupe, pulau Caribbean Perancis, kepada akhbar Le Figaro. Ayahnya maut pada Julai 2024 apabila beg udara dalam keretanya meletup.

“Tiada sebarang arahan penarikan balik terhadap keretanya. Dia langsung tidak tahu dia sedang memandu bom jangka.”

Persatuan pengguna utama Perancis, UFC-Que Choisir, menuduh kerajaan dan pengeluar sebagai cuai dan sambil lewa.

“Tiada tindakan tegas diambil oleh pengeluar yang mencerminkan tahap bahaya dan kecemasan sebenar,” kata presidennya Marie-Amandine Stévenin.

“Analisis risiko mereka ternyata tidak boleh dipercayai kerana kemalangan terus berlaku.” — AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast