KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) kecewa apabila skim perlindungan di bawah Program Subsidi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) mencapai tahap maksima pencaruman sedangkan masih ramai pekerja kuil tidak sempat menikmati manfaatnya.
Perkara itu dinyatakan Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar yang berkata, skim berjumlah RM100 juta yang dilancarkan kerajaan itu pada asalnya diyakini mampu menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja sendiri termasuk pekerja kuil seperti pendeta, pemain alat muzik, kerani, tukang masak dan pencuci.
“Ramai pekerja kuil tidak tahu tentang kewujudan skim ini. Sedihnya, mereka hanya menunggu dan mengharap kerajaan membantu, tanpa inisiatif sendiri untuk mengetahui program ini.
“Sekarang kami dimaklumkan pula bahawa skim ini telah capai kuota maksimum dan peluang mereka untuk mencarum tidak dapat direalisasikan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Sivakumar, Mahima pada peringkat awal bercadang mendaftar pekerja kuil dengan mencarum RM232.80 setahun bagi pelan dua skim di bawah SKSPS.
Jelasnya, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM162.70, hanya RM70 perlu dibayar pencarum untuk perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Mahima bersedia bekerjasama dengan PERKESO mempromosi skim ini demi masa depan pekerja kuil tetapi peluang ini ditutup sebelum sempat kami berbuat demikian.
“Saya berharap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dapat menambah kuota bagi tahun 2025 supaya lebih ramai dapat menikmati perlindungan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sivakumar juga menggesa badan berkaitan segera memberi pendedahan mengenai dasar, skim dan inisiatif kerajaan agar pekerja kuil serta komuniti rumah ibadat tidak terus ketinggalan.
“Mahima sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat dan bersedia menjadi rakan strategik Kementerian Sumber Manusia dalam semua program yang memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















