KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa) menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Datuk Anthony Kevin Morais, sebagai satu kemenangan besar buat keadilan.
Jalsoa berkata keputusan tertinggi oleh Mahkamah Persekutuan itu memberikan kelegaan mendalam bukan sahaja kepada keluarga mendiang, tetapi juga kepada seluruh warga kehakiman dan perundangan yang selama ini menjunjung prinsip undang-undang secara tuntas.
“Ini adalah manifestasi sebenar bahawa keadilan akhirnya ditegakkan.
“Ia memberi isyarat jelas bahawa tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang, dan tiada kompromi terhadap usaha menegakkan kebenaran,” kata kenyataan rasmi Jawatankuasa Eksekutif Jalsoa penggal 2023/2025.
Persatuan itu turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas siasatan yang rapi serta pasukan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara yang bertindak dengan penuh profesionalisme dan keberanian sepanjang prosiding di semua peringkat mahkamah.
“Tragedi kejam ini menjadi ingatan bahawa tugas Pegawai Undang-Undang, khususnya para Timbalan Pendakwa Raya, bukan sahaja mencabar malah berdepan risiko keselamatan yang tinggi,” tegasnya.
Walaupun terdapat kebimbangan bahawa insiden seumpama ini boleh berulang, JALSOA memberi jaminan bahawa Pegawai Undang-Undang dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan akan terus kekal teguh, tidak gentar atau berundur dalam menegakkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
“Buat mendiang Datuk Anthony Kevin Morais, walaupun perkenalan kami dengannya singkat, namun semangat dan jasanya akan terus hidup dalam ingatan serta prinsip yang kami junjung bersama. Legasimu kekal abadi.”
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pakar patologi tentera, Kolonel Dr Kunaseegaran, 63, atas kesalahan membunuh Kevin Morais 10 tahun lepas.
Dua lagi individu iaitu S Nimalan, 32, dan S Ravi Chandran, 54, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 40 tahun.
Nirmalan juga dijatuhi hukuman sebat 12 kali manakala atas faktor usia, Ravi Chandran terlepas dari sebatan kerana sudah berusia lebih 50 tahun.
Manakala tiga lagi tertuduh R. Dinishwaran, 33; A.K. Thinesh Kumar, 32; dan M. Vishwanath, 35 dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap mereka.
Kes berprofil tinggi yang menggemparkan negara itu melibatkan pembunuhan kejam ke atas Kevin Morais yang mayatnya ditemui dalam tong dram berisi konkrit di sebuah laluan sunyi di Subang Jaya pada 16 September 2015 hampir dua minggu selepas beliau dilaporkan hilang. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Kes Kevin Morais: Bekas pakar patologi tetap ke tali gantung, dua dipenjara dan tiga dilepas bebas
















