GAZA – Pengarah Hospital Indonesia di Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.
Dr Marwan Sultan dilaporkan terbunuh bersama beberapa ahli keluarganya apabila rumah mereka di Gaza City diserang oleh pesawat rejim zionis.
Kementerian Kesihatan berkata, Dr Sultan mempunyai kerjaya perubatan yang panjang dan mengutuk “jenayah kejam ini terhadap pasukan perubatan kami”.
Tentera Israel pula mendakwa mereka menyasarkan “tokoh pengganas utama” dari Hamas di kawasan Gaza City dan sedang menyemak dakwaan bahawa “orang awam yang tidak terlibat” turut terjejas dalam serangan tersebut.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera, termasuk kanak-kanak, dalam serangan ke atas zon selamat al-Mawasi, menurut laporan agensi berita.
Kementerian Kesihatan berkata, Dr Sultan sebagai seorang individu yang penuh belas kasihan, “menjadi simbol dedikasi, ketabahan dan keikhlasan dalam keadaan paling sukar dan getir yang dihadapi rakyat kami di bawah serangan berterusan”.
Dr Sultan merupakan pengarah Hospital Indonesia, yang telah diisytiharkan tidak lagi berfungsi oleh kementerian kesihatan selepas serangan berulang oleh Israel hingga menyebabakan kerosakan struktur yang berterusan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kini tiada lagi hospital beroperasi di wilayah utara Gaza dan Kementerian Kesihatan menuduh tentera Israel sengaja menyasarkan pasukan perubatan dan kemanusiaan.
Dalam kenyataannya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, mereka “kesal atas sebarang kemudaratan terhadap individu yang tidak terlibat” dan “berusaha meminimumkan bahaya kepada mereka sebanyak mungkin”.
IDF turut menuduh Hamas “secara sistematik melanggar undang-undang antarabangsa dengan menggunakan infrastruktur awam untuk aktiviti keganasan dan orang awam sebagai perisai manusia”.
Namun, anak perempuan Dr Sultan, Lubna al-Sultan berkata “sebutir peluru berpandu F-16 menyasarkan terus biliknya, tepat di tempat dia berada”.
“Semua bilik lain dalam rumah tidak terjejas, hanya biliknya sahaja yang musnah. Ayah saya syahid di situ,” katanya.
Lubna menegaskan bapanya “tidak terlibat dengan mana-mana gerakan, beliau hanya mengambil berat terhadap pesakit yang dirawatnya sepanjang peperangan”.
Di seluruh Gaza, sekurang-kurangnya 139 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam sebelum tengah hari Rabu, menurut kementerian kesihatan.
Di kawasan al-Mawasi di Khan Younis, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan beberapa lagi, termasuk kanak-kanak, cedera dalam serangan Israel ke atas khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Keluarga mangsa berkata, serangan berlaku pada jam 12.40 tengah malam waktu tempatan ketika mereka sedang tidur.
Tamam Abu Rizq memberitahu serangan itu “menggegarkan tempat ini seperti gempa bumi” dan beliau “keluar dan melihat khemah sedang terbakar”.
Kawasan al-Mawasi telah diisytiharkan sebagai “zon selamat” oleh tentera Israel, sementara PBB menyatakan 80% kawasan Gaza kini berada dalam zon ketenteraan Israel atau di bawah arahan pemindahan.
“Mereka datang ke sini kerana menyangka ia kawasan selamat, tapi mereka terbunuh… Apa salah mereka?” kata Maha Abu Rizq.
Israel terus mengebom Gaza dan mengawal kemasukan serta pengagihan bantuan kemanusiaan sementara rundingan gencatan senjata diteruskan.
Hamas telah menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menculik 251 orang sebagai tebusan.
Sejak itu, serangan tentera Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 57,000 orang, termasuk lebih 15,000 kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah tersebut. – Agensi
















