Timbalan Bendahari Wanita Keadilan Pusat, Karen Kasturi.

KUALA LUMPUR -Kempen ‘Turun Anwar’ yang digerakkan pihak tertentu disifatkan sebagai satu tindakan terdesak dan tidak bertanggungjawab untuk menggugat kestabilan politik negara.

Timbalan Bendahari Wanita Keadilan Pusat, Karen Kasturi berkata,  kempen tersebut tidak mencerminkan realiti sebenar pencapaian pentadbiran negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa kini.

“Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan dan pembinaan semula pasca-pandemik. Hakikatnya, Kerajaan Madani telah berjaya menstabilkan landskap politik selepas era ketidaktentuan yang berpanjangan, selain melaksanakan dasar ekonomi dan sosial yang lebih inklusif dan berasaskan akauntabiliti.

“Kempen ini hanya retorik populis yang gagal mengemukakan sebarang alternatif realistik, sebaliknya hanya mencetuskan keresahan awam dan menjejaskan keyakinan pasaran.

“Perdana Menteri menunjukkan keberanian memperkukuh integriti pentadbiran. Dasar fiskal berhemah serta pelaburan dalam kebajikan rakyat membuktikan kerajaan berusaha mewujudkan keseimbangan yang tepat,” katanya dalam kenyataan.

Karen mengulas rancangan pembangkang untuk menganjurkan demonstrasi pada 26 Julai di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada kempen menolak kepimpinan Perdana Menteri.

Menurut beliau, peningkatan keyakinan pelabur asing dan prestasi Malaysia dalam pelbagai indeks antarabangsa menjadi bukti negara berada di landasan betul.

“Kepimpinan bukan tentang menyenangkan hati semua pihak, sebaliknya memerlukan visi jangka panjang dan keberanian membuat keputusan sukar. Ingatlah, Perdana Menteri memimpin dengan prinsip, bukan tunduk kepada tekanan populis,” tegasnya.

Karen turut menyeru agar semua pihak menilai prestasi kerajaan berlandaskan fakta dan bukannya sentimen emosi.

“Ini bukan masa untuk menggugat kestabilan. Inilah masa untuk kita terus berganding bahu membina masa depan yang adil, makmur dan inklusif buat seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast