KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita serta mana-mana pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap institusi terbabit.
Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canselori UniSIRAJ berkata, laporan yang mendakwa kononnya seramai 30 kakitangan kontrak institusi berkenaan termasuk staf pentadbiran dan beberapa pensyarah diberhentikan secara serentak tanpa sebarang notis awal adalah fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mencemrkan nama baik UniSIRAJ.
Sedangkan, jelasnya, tidak ada mana-mana pihak yang dipecat atau diberhentikan serta-merta, sebaliknya mereka yang tidak tidak disambung kontrak itu adalah lantikan di bawah terma “Fixed Term Contract” iaitu kontrak bertempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak sejak awal.
Ujarnya, kontrak perkhidmatan tersebut mempunyai tarikh tamat kontrak yang jelas dan tidak menjanjikan lanjutan, kecuali jika diperbaharui atas keperluan semasa.
Tambahnya, UniSIRAJ tidak terikat di bawah perjanjian untuk menyambung perkhidmatan staf kontrak melainkan jika ada keperluan.
“Hanya 15 orang kakitangan yang telah tamat kontrak perkhidmatan dalam tempoh yang dinyatakan, bukan 30 orang seperti yang dilaporkan.
“UniSIRAJ masih membuka ruang rayuan kepada kakitangan terlibat untuk pertimbangan lanjut.
“Semua kakitangan yang tidak dilanjutkan kontrak menerima gaji melebihi RM2,000, bukan antara RM1,500 hingga RM2,000 seperti yang dinyatakan dalam laporan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan pemberhentian kakitangan UniSIRAJ itu, sekali gus mendakwa mencetuskan kegusaran dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi berkenaan.
Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, dakwaan berkaitan teguran oleh Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta salah laku kewangan seperti dilaporkan portal berita berkenaan juga adalah tidak berasas.
Katanya, UniSIRAJ adalah sebahagian daripada proses penstrukturan tenaga kerja untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan operasi berdasarkan kapasiti semasa.
“Tindakan ini juga selepas mengambil kira laporan audit perjawatan dan bengkel analisis yang dilakukan beberapa kali perbincangan melibatkan panel pakar,” katanya.
Berhubung kontroversi lawatan rektor UniSIRAJ ke Uzbekistan, tambahnya, lawatan kerja itu adalah inisiatif strategik universiti dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa di rantau Asia Tengah.
“Hasil lawatan tersebut termasuk pemeteraian projek penyelidikan bersama Institut Imam Bukhari serta kunjungan balas oleh Gabenor Tashkent ke UniSIRAJ pada April lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















