
MINGGU lalu Persekutuan Rusia mengiktiraf Emiriah Islam Afghanistan iaitu sebuah negara yang diperintah oleh Taliban. Ia merupakan kumpulan politik yang dipencilkan oleh dunia kerana mengamalkan dasar-dasar ektremis dengan bersikap militan.
Maka Rusia menjadi negara pertama di dunia yang mengiktiraf kerajaan Taliban sejak ia berjaya menguasai Afghanistan pada tahun 2021. Taliban mengalahkan tentera Republik Islam Afghanistan yang disokong dan dibantu oleh Amerika Syarikat.
Ia merupakan ironi sejarah apabila dilihat dari sudut hubungan Rusia dan Afghanistan. Pada tahun 1979, Soviet Union telah menghantar tentera untuk mempertahankan Republik Demokratik Afghanistan daripada serangan kumpulan-kumpulan Mujahidin yang mendapat sokongan dan bantuan Amerika. Rusia ketika itu adalah sebahagian daripada Soviet Union.
Pertentangan itu boleh dikira perang saudara, iaitu antara Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA) yang berfahaman Komunis dengan kumpulan-kumpulan Mujahidin yang berfahaman Islamis.
Tetapi dalam konteks geopolitik, ia merupakan sebahagian daripada Perang Dingin. PDPA adalah proksi Soviet Union dan Mujahidin adalah proksi Amerika.
Mujahidin terdiri daripada tujuh kumpulan tetapi yang terbesar ialah Jamaati Islami dan Hizbi Islami. Kedua-duanya tidak boleh bersatu dan sering bertelagah, malah berperang di antara sama lain. Kedua-duanya pengikut mazhab Sunni. Komuniti Syiah pula banyak di wilayah Hazara dan mempunyai kumpulan tersendiri. Ketika itu, kumpulan Taliban yang bermaksud pelajar belum wujud lagi.
Banyak pengulas Barat yang menyatakan bahawa Taliban lahir daripada Mujahidin adalah adalah kurang tepat. Taliban muncul dari kalangan pelajar Afghanistan di Pakistan. Fahaman mengenai agama Taliban dan Mujahidin juga berbeza. Taliban adalah lebih ekstrem daripada Mujahidin.
Taliban muncul selepas Mujahidin dapat menguasai Afghanistan. Mereka mengangkat senjata menentang Mujahidin dan bukannya tentera komunis dan Soviet. Taliban pada awalnya dibantu oleh Amerika, Pakistan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Tahun 1979 adalah tahun perubahan besar di Timur Tengah. Ia adalah tahun tercetusnya Revolusi Iran di bawah pimpinan Ayatullah Khomeini yang merupakan jiran kepada Afghanistan. Ia juga tahun Saddam Hussein mengambil kuasa di Iraq, yang merupakan jiran kepada Iran.
Semasa Revolusi Iran, Parti Komunis Iran, Tudeh yang pro-Soviet turut serta menentang Shah Iran, Reza Pahlavi bersama kumpulan-kumpulan lain seperti Fedayeen dan Mujahidin Khalq serta golongan Islamis yang majoriti. Bagaimanapun selepas revolusi berjaya dan kumpulan Islamis menubuhkan Republik Islam Iran, kumpulan-kumpulan kiri ini diharamkan dan mereka terpaksa melarikan diri ke Iraq dan Eropah.
Pada masa itu, Iran bukan saja bersikap anti-Amerika tetapi juga anti-komunis dan anti-Soviet. Malah Ayatullah Khomeini meramalkan bahawa Soviet Union akan “ masuk muzium tidak lama lagi”. Terhadap Afghanistan, tentunya Iran menyokong Mujahidin. Ini bermakna Iran bersama dengan Amerika dan Pakistan menentang kerajaan komunis di Kabul.
Pada tahun 1988, saya pergi ke Teheran atas undangan kerajaan Iran untuk menghadiri persidangan dunia mengenai Afghanistan. Turut serta ialah kumpulan-kumpulan Mujahidin termasuk kumpulan yang mewakili komuniti Syiah di Afghanistan.
Pada masa itu, Iran amat prihatin dengan nasib komuniti Syiah yang dipinggir dan ditindas bukan saja di Afghanustan tetapi juga di Iraq, Lubnan, Yaman dan Arab Saudi.
Betul ramalan Ayatullah Khomeini, Soviet Union tumbang dan berpecah pada tahun 1989. Republik terbesarnya iaitu Rusia mewarisi kepentingan Soviet Union. Tenteranya diundurkan dari Afghanistan. Negara komunis, Republik Demokratik Afghanistan pun tumbang.
Mujahidin ambil alih kuasa dan menubuhkan Negara Islam Afghanistan pada tahun 1992.
Tetapi perdamaian tidak datang ke negara itu kerana kumpulan Mujahidin berperang sesama sendiri untuk berebut kuasa.
Dalam suasana kacau-bilau itu, muncul Taliban yang mengalahkan kumpulan-kumpulan Mujahidin itu dan seterusnya menubuhkan Emiriah Islam Afghanistan. Hanya tiga negara mengiktiraf kerajaan ini, iaitu Pakistan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Dunia terkejut dengan tindakan ekstrem dalam pemerintahan. Sikapnya yang anti-Syiah menimbulkan prihatin pada Iran.
Tetapi kejatuhan Taliban berpunca dari persahabatannya dengan kumpulan Al-Qaeda yang lebih ekstrem. Sebahagian daripada militan Al-Qaeda pernag menyertai Mujahidin dahulu. Tetapi mereka muncul hanya setelah berlaku Perang Teluk Pertama pada tahun 1990 apabila Amerika menyerang Iraq ekoran Saddam Hussein menakluk Kuwait.
Serangan Amerika itu membawa kepada kehadiran tenteranya di Arab Saudi. Al-Qaeda menentang kehadiran tentera Amerika di bumi Arab Saudi lalu ia menjadi anti-Amerika. Sifat ganas Al-Qaeda adalah amalan mengebom bunuh diri atau suicide bomber. Dalam bahasa Melayu, ada orang menggunakan istilah “pengebom berani mati”.
Itu tidak tepat. Apa yang tepat ialah “pengebom bunuh diri “ Semua tentera dan pejuang tentunya berani mati. Tetapi mereka tidaklah melakukan tindakan bunuh diri. Bunuh diri melanggar ajaran Islam dan kemanusiaan
Pada mulanya, Al-Qaeda beroperasi di Yaman dan Sudan tetapi akhirnya memperoleh perlindungan di Afghanistan. Selain membantu membina infra-struktur di negara itu, Al-Qaeda pun memerangi kumpulan-kumpulan Mujahidin khusus di kalangan Hizbi Islami.
Pada tahun 2001, berlaku peristiwa 9/11 yang berbentuk serangan ke atas World Trade Center, New York. Al-Qaeda didapati pelakunya. Amerika meminta Afghanistan menyerahkan pemimpin Al-Qaeda, Osama ben Laden padanya. Pemimpin Taliban Afghanistan, Mullah Omar enggan. Menurutnya Al-Qaeda itu tetamu mereka. Akhirnya Amerika dapat jufa mengalahkan Al-Qaeda dengan anggota-anggotanya dipenjarakan di Kem Guantanamo, Cuba.
Sementara sebahagiannya pula lari ke Iraq untuk menentang Amerika selepas kerajaan Saddam Hussein tumbang pada tahun 2003 ekoran penaklukan Amerika ke atas negara itu.
Serangan Amerika pun ke atas Afghanistan amat dahsyat. Jauh melebihi apa yang dilakukan oleh Soviet Union ke atas Afghanistan. Taliban tumbang pada tahun 2001 tetapi Republik Islam Afghanistan hanya dapat ditubuhkan pada tahun 2004. Negara demokratik itu disokong dan dibantu oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.
Ketika itu, CIA mengerahkan peladang Afghanistan pokok popi untuk dijadikan candu. Dadah ini disalurkan je Iran untuk melemahkan orang Iran. Kerajaan Iran bertungkus-lumus hendak membanteras penagihan dadah.
Tetapi Taliban terus berusaha mendapatkan balik kuasa dan akhirnya Republik Islam Afghanistan tumbang pada 2021 apabila Amerika mengundurkan diri dengan tergesa-gesa. Namun begitu ekonomi Afghanistan masih disekat dan hartanya dibekukan oleh Amerika. Ia dibuat atas dua alasan.
Pertama, Taliban mengambil kuasa secara ketenteraannya, menjadikannya tidak sah kerana tidak melalui proses demokrasi. Kedua, layanan buruk Taliban terhadap wanita di mana meteka dihalng peluang pendidikan dan pekerjaan.
Mengapakah Rusia mengiktiraf kerajaan Taliban? Pada masa ini Rusia memerlukan banyak kawan kerana ia berada dalam peperangan dengan Ukraine. Dalam dunia yang semakin menolak kepemimpinan global Amerika, maka Rusia hendak membentuk satu rangkaian sekutu yang terdiri daripada China, Iran dan Korea Utara bagi mengurangkan pengaruh Amerika dan Barat.
Dalam serangan Israel ke atas Gaza, baru-baru ini, Afghanistan menyatakan sokongannya pada rakyat Pakestin. Adalah dipercayai beberapa negara lain juga sedang menghubungi Afghanistan untuk mencari jalan pemulihan. Antaranya kemungkinan China.
Ketika Rusia menguasai Soviet Union, mereka lebih mudah mempengaruhi Eropah Timur dan Asia Tengah. Kini ia terpaksa berperang dengan Ukraine untuk memelihara kepentingan geopolitik.
Tidak semua negara bekas Soviet Union di Asia Tengah yang mesra Rusia. Ada juga yang mempunyai hubungan kuat dengan Amerika. Maka pengiktirafan Rusia terhadap Taliban menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa
















