KUALA LUMPUR – Komitmen China untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat telah disambut baik oleh Malaysia sebagai langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan serantau.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas beliau dan rakan sejawat dari China, Wang Yi, mempengerusikan bersama Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan China sempena AMM ke-58 di ibu negara hari ini.
“China telah memberi jaminan mereka akan menandatangani perjanjian SEANWFZ sebaik semua dokumen berkaitan lengkap sepenuhnya.
“Mereka tidak meletakkan sebarang syarat. Ini satu isyarat yang sangat jelas tentang sokongan China terhadap kestabilan dan keamanan serantau,” katanya kepada media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini sebentar tadi.
Menurut Mohamad, selain SEANWFZ, perbincangan turut menyentuh pelbagai aspek termasuk kerjasama dua hala dan pelbagai hala yang melibatkan kebebasan pelayaran dan ruang udara terbuka di Laut China Selatan, dengan penegasan terhadap kepatuhan kepada undang-undang laut antarabangsa.
Beliau menambah, hubungan ASEAN dan China kini berada pada landasan kukuh dengan China kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar bagi blok serantau itu.
“Ini membuka lebih banyak ruang untuk kerjasama ekonomi dan pelaburan. Kita berharap hubungan ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat di rantau ini.
“ASEAN dan China juga mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, keselamatan dan pembangunan mampan. -MalaysiaGazette
















