KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa hari ini, kesalahan berkaitan penyebaran maklumat peribadi tanpa izin atau doxing kini diklasifikasikan sebagai jenayah buli siber yang serius dan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Doxing adalah tindakan mencari dan menyebarkan maklumat peribadi seseorang (seperti nama penuh, alamat, nombor telefon dan lain-lain) dalam talian dengan tujuan untuk memalukan, mengancam atau membahayakan mangsa.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kesalahan itu terkandung dalam Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang berkuat kuasa hari ini.
“Kedua-dua akta ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan di Dewan Negara pada 16 Disember 2024 dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Pindaan ini khusus bertujuan menangani isu buli dengan lebih efektif dan menyeluruh termasuk buli secara fizikal serta buli siber,” ujar kenyataan itu.
Pindaan tersebut turut memperkenal seksyen-seksyen baharu seperti Seksyen 507B hingga 507G, yang secara spesifik memperuntukkan hukuman yang setimpal bagi kesalahan berkaitan komunikasi mengancam, menghina atau mencela yang bertujuan menyebabkan gangguan emosi atau ketakutan kepada mangsa.
Ujar kenyataan tersebut, pindaan itu juga memperkenal peruntukan khusus yang membolehkan tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pelaku buli.
Ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk melindungi masyarakat terutamanya golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja serta individu yang mengalami tekanan mental akibat gangguan buli.
Kenyataan itu turut menyatakan pengenalan peruntukan khusus tersebut dibuat hasil penelitian terhadap kelemahan undang-undang sedia ada yang didapati tidak mencukupi untuk menangani pelbagai bentuk ancaman psikologi dan emosi terutamanya dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.
Pelaksanaan kedua-dua akta itu turut bertujuan memperkemaskan prosedur perundangan, meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah dan memberi ruang kepada tindakan yang lebih pantas serta tegas terhadap
mereka yang melanggar undang-undang.
“Kerajaan juga akan terus memastikan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini dilakukan secara adil dan saksama, tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Ia merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI memperkukuh sistem perundangan negara supaya seiring dengan keperluan semasa serta cabaran baharu dalam landskap jenayah moden,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















