Seorang lelaki dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki selepas berlaku insiden pergaduhan di tengah jalan di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya, semalam. Ihsan Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki selepas berlaku insiden pergaduhan di tengah jalan di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya, semalam.

Kejadian itu tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi 15 saat memaparkan beberapa lelaki bergelut dengan mangsa di belakang sebuah lori jenis bonded sebelum ‘menyumbat’ mangsa ke dalam lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung pergaduhan yang berlaku di lokasi kejadian.

“Pemberi maklumat menyatakan bahawa mangsa merupakan seorang lelaki tempatan dan telah dibawa lari oleh tiga lelaki tempatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan lewat malam semalam.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-3309 4457.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat menerusi talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di nombor 03-7852 7222 atau 03-7862 7100.

Terdahulu, selain video berdurasi 15 saat itu, turut tular satu pesanan suara berdurasi sembilan saat yang mendakwa seorang individu dikenali sebagai ‘Aboi’ telah diculik oleh tiga lelaki tempatan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast