KUANTAN – Sebanyak tiga kes dilaporkan di Kuantan dan Maran membabitkan sindiket pelaburan atas talian sehingga menyebabkan tiga orang mangsa mengalami kerugian berjumlah RM2.54 juta.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa kes pertama membabitkan seorang peniaga lelaki berusia 45 tahun telah tertarik dengan satu iklan pelaburan di aplikasi Facebook atas nama KLSE FUTURE-HIFA pda 23 Februari lalu.
Mangsa berhubung dengan individu dikenali sebagai Helen melalui aplikasi WhatsApp kemudian kemudian diminta memuat turun aplikasi PHC ELITE dan menyertai satu kelas pelaburan atas talian melalui pautan hifod.top.
”Mangsa membuat 18 transaksi berjumlah RM1.86 juta ke enam akaun bank antara 14 Mei hingga 15 Julai 2025. Pada 16 Mei 2025, mangsa menerima pulangan sebanyak RM20,669 yang menyebabkan beliau yakin dan terus melabur.
”Namun pada 22 Julai 2025, mangsa diminta membuat bayaran tambahan RM88,000 untuk proses pengeluaran cepat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mangsa enggan dan hasil semakan di portal Semak Mule menunjukkan akaun bank terlibat mempunyai rekod jenayah.
Kes kedua pula melibatkan mangsa yang sama yang telah terpedaya dengan pelaburan atas nama AID PARTNERS turut dipromosikan melalui aplikasi Facebook.
Pada sekitar bulan Februari 2025, mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan diarahkan memuat turun aplikasi Tung Shin untuk kononnya mengikuti kelas pelaburan.
”Sebanyak 13 transaksi berjumlah RM440,000 dibuat antara 23 Februari hingga 21 Mei 2025. Dalam kes ini, tiada sebarang pulangan diterima malah mangsa diminta membayar ’cukai’ sebanyak 20 peratus untuk pengeluaran.
”Mangsa enggan dan mengesyaki telah ditipu. Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa adalah RM2,279,051,” katanya.
Wang pelaburan diperoleh daripada simpanan sendiri dan pinjaman rakan-rakan.
Kes ketiga melibatkan mangsa seorang pesara wanita berusia 58 tahun telah menyertai pelaburan saham melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nama “Endowus (a) Private Wealth Management’ dan “A1033 Ts Global Investment” yang menjanjikan pulangan lumayan.
”Antara 29 Mei hingga 14 Julai 2025, mangsa telah melakukan 28 transaksi ke dalam empat akaun syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM266,500 di mana semua transaksi ini dilakukan menggunakan wang simpanan peribadi mangsa.
”Mangsa mula curiga apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi pelaburan saham lain seperti PCHEM dan tidak dapat mengeluarkan wang yang dilaburkan,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial. – MalaysiaGazette















