KUALA LUMPUR – Pendakwan bebas, Firdaus Wong Wai Hung secara peribadi tidak bersetuju dengan penganjuran demonstrasi Himpunan Turun Anwar yang dirancang pembangkang di sekitar ibu negara, esok.
Ini kerana, jelas beliau, demonstrasi itu akan meninggalkan kesan bukan hanya kepada mereka yang menyertainya, tetapi kepada seluruh negara.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, sejarah membuktikan dari tahun 1998, 2007, hingga 2016, demonstrasi jalanan tidak pernah menjatuhkan Perdana Menteri secara langsung.
Sebaliknya, ujar beliau, yang berubah hanya selepas pilihan raya, atau rundingan kuasa.
“Adakah kita bersedia untuk mengorbankan kestabilan hanya untuk meluahkan rasa marah & tidak puashati akan prestasi PM?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Selain itu, katanya, demonstrasi tidak akan berlangsung tanpa melibatkan kos yang mana setiap kali ia berlaku, jalan terpaksa ditutup, perniagaan terganggu, pelancong takut dan pelabur menunggu.
“Dalam keadaan ekonomi yang rapuh, adakah ini benar-benar langkah yang bijak dan tepat pada waktu ini?” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, jika rakyat benar-benar mahukan perubahan, biarlah ia datang dengan usaha yang membina, bukan membinasakan.
“Mungkin yang hadir mempunyai niat yang baik untuk kebaikan negara tetapi bagaimana dengan generasi akan datang?
“Adakah kita sedang mendidik generasi akan datang bahawa jikalau pengetua sekolah, ketua kampung, ketua kawasan yang pada pandangan kita gagal menjalankan tugasan mereka dengan baik, maka mereka harus berdemonstrasi dan bukannya dengan cara lain?” katanya.
Menerusi hantaran sama, Firdaus Wong turut memetik tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi ruangan Minda Presiden Pas pada 2023 yang tidak menolak demonstrasi jalanan secara mutlak tetapi turut menyebut `demonstrasi jalanan boleh mencetuskan pergaduhan dengan polis dan tentera daripada kalangan saudara seagama dan sebangsa di dalam negara sendiri’.
Malah, beliau turut mengimbas ketika menghadiri pertemuan pra Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pemuda Pas pada 2018 yang mana ketika itu, Ir. Khairil Nizam yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas memberikan taklimat tentang Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).
“Antara yang disebut adalah PAS akan berpolitik secara matang dengan tidak akan banyak berdemonstrasi seperti sebelum ini. Saya nampak perubahan positif itu dan ianya juga selari dengan kata-kata Tok Guru di atas,” katanya.
Sementara itu, Firdaus Wong turut berkongsi pesanan supaya jangan membiarkan kemarahan mengatasi kewarasan dan jangan membiarkan kekecewaan memadamkan pertimbangan.
“Adakah kita menyakini itu yang terbaik untuk kita semua buat masa ini atau kita sedang dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak sabar mahu berkuasa?” katanya.
Tambahnya, beliau tidak meminta orang ramai untuk menyokong sesiapa, sebaliknya hanya menyeru untuk berfikir sedalam-dalamnya tentang kesan jangka pendek dan panjang.
“Demonstrasi mungkin melegakan emosi, tapi jarang menyelesaikan masalah.
“Berfikir dahulu sebelum bertindak. Kerana esok, bukan hanya soal siapa yang turun tetapi siapa yang akan menanggung akibatnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















