PUTRAJAYA – Malaysia akan terus memantau dalam isu pergolakan antara Kemboja dan Thailand di sempadan agar cadangan proses damai dapat dicapai segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pemimpin negara itu menghargai peranan yang dimainkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN biarpun insiden berbalas tembakan masih berlaku.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia dalam menyokong usaha keamanan dan kestabilan serantau bagi memastikan konflik tersebut dapat diselesaikan secara aman melalui dialog.
“Kedua-dua pihak Thailand dan Kemboja telah buat kenyataan dan menghubungi saya, untuk mengucapkan terima kasih atas ikhtiar itu. Walaupun setelah bersetuju, nampaknya masih di perbatasan ada tembak-menembak lagi.
“Jadi saya terus minta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hubungi Kementerian Luar di sana dan kalau boleh saya akan terus hubungi mereka.
“Sekurang-kurangnya hentikan dulu tembak-menembak ini dan teruskan dengan rundingan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahasa Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur di kawasan pertikaian sempadan bersama dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad, dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Sebelum itu, Kerajaan Thailand menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas segera selepas seorang anggota tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api yang didakwa baru dipasang.
Kerajaan Kemboja kemudian turut bertindak balas dengan menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap paling rendah kelmarin. – MalaysiaGazette

















