- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap beberapa pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan visa perubatan kepada warga asing secara tidak sah.

Cadangan itu susulan daripada hasil Siasatan Pasukan Petugas Khas yang mendapati terdapat penyalahgunaan kuasa pegawai JIM yang meluluskan visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara meskipun menyedari dokumen permohonan tidak lengkap dan tidak mematuhi ketetapan dalam Pekeliling Imigresen.

Tindakan jenayah yang perlu dikenakan di Bawah Kanun Keseksaan [Akta 574]; Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], dan/atau dan Akta Pasport 1966 [Akta 150],” kata EAIC menerusi kenyataan.

Sebagai rekod, Pasukan Petugas Khas suruhanjaya tersebut ditubuhkan di bawah Seksyen 17, Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) bagi menyiasat perkara berkenaan.

Pasukan itu diketuai oleh Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr. Razali Ab. Malik.

Menurut EAIC, pasukan petugas khas itu telah meneliti pelanggaran dalam proses kelulusan visa perubatan termasuk semakan terhadap pematuhan tatacara sedia ada, pengambilan keterangan saksi-saksi berkaitan, penyitaan dokumen serta penyediaan syor yang bersesuaian untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast