KUALA LUMPUR – Sebanyak 41 notis kompaun dikeluarkan kepada ‘jurugambar jalanan’ menerusi Ops Lens yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan tumpuan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
DBKL menerusi kenyataan berkata, operasi dijalankan dengan Kerjasama agensi penguat kuasa yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Operasi tersebut dijalankan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap kegiatan penyediaan perkhidmatan fotografi tanpa lesen yang dijalankan secara terbuka di tempat awam.
“Semakan ke atas individu turut dibuat bagi mengenal pasti sebarang rekod jenayah, kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan.
“Menerusi semakan yang dibuat, tiada sebarang penahanan dibuat pada operasi kali ini,” katanya menerusi kenyataan.
DBKL berkata, aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.
“DBKL ingin menegaskan bahawa ruang awam adalah milik bersama dan harus digunakan secara beretika, tertib dan mematuhi peraturan sedia ada.
“DBKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sitaan terhadap peralatan dan barangan sekiranya aktiviti ini terus dijalankan secara berulang tanpa kebenaran,” tambahnya.
DBKL turut memberi jaminan akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni untuk semua.
“Sebarang aduan atau maklum balas daripada orang awam boleh disalurkan melalui pautan saluran rasmi DBKL yang tertera,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















