Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO hari ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan mempengerusikan rundingan damai antara pemimpin Thailand dan Kemboja yang berlangsung di ibu negara semalam.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, inisiatif Anwar selaku Pengerusi ASEAN telah berjaya membawa kedua-dua pemimpin negara itu ke meja rundingan hingga tercapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan kemampuan Malaysia memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan serantau menerusi pendekatan diplomasi dan rundingan.

“Bukan mudah bagi seorang pemimpin atau mediator untuk mendamaikan dua negara yang sedang berkonflik. Namun, Perdana Menteri berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha turut menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang membanggakan dan wajar dihormati oleh semua pihak, khususnya rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik.

“Usaha sebegini tidak wajar dipandang sinis atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang tidak memahami realiti hubungan antarabangsa dan cabaran diplomasi,” tegasnya.

Beliau berkata, veteran UMNO berharap persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Thailand dan Kemboja pada 27 Julai lalu akan menjadi langkah pertama ke arah meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Tambah beliau, rundingan yang berlangsung di Kuala Lumpur itu juga membuka lembaran baharu dalam kerjasama serantau ASEAN khususnya dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan.

“Malaysia wajar berbangga dengan peranan aktif yang dimainkan oleh Perdana Menteri dalam hal ini,” ujarnya.

Amerika Syarikat (AS) hari ini memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan perjanjian gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Negara berkata, pihaknya menyambut baik pengisytiharan gencatan senjata yang diumumkan kedua-dua negara terbabit di Kuala Lumpur.

Semalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar selaku pengerusi ASEAN diadakan di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat khas itu yang bermula 3 petang semalam.

Ini pertemuan secara bersemuka pertama kedua-dua pemimpin sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran itu pada 24 Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast