Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah intervensi segera dalam perang antara Thailand dan Kemboja sebagai langkah tepat.

Apatah lagi, kata beliau, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia bertanggungjawab mendamaikan dua negara anggota berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan usaha Anwar itu tidak dipolitikkan secara berlebihan, sebaliknya semua pihak mengakui perkara tepat dan baik yang dilakukan kerajaan.

“Damai adalah antara ciri penting dan asas kemakmuran rantau ASEAN.

“Dalam suasana geo politik global yang semakin rapuh, sebarang konflik antara negara perlu dielakkan.

“Kebetulan ketika ini giliran Malaysia mempengerusikan ASEAN, maka tanggungjawab mendamaikan adalah satu kewajipan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Annuar berkata, sebarang konflik ketenteraan mesti dielakkan di rantau ini bagi mengelak ASEAN menjadi medan campur tangan luar yang lebih menggusarkan.

Malah, ujarnya, konflik ketenteraan itu juga dibimbangi akan menyebabkan ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan.

“Doa kita agar gencatan senjata membawa kepada rundingan dan perdamaian. Jiran dan tetangga yang aman adalah kepentingan bersama anggota ASEAN.

“Malaysia harus terus memainkan peranan,” katanya.

Malaysia berjaya merintis gencatan senjata segera antara Thailand dan Kemboja, sekali gus menghentikan peperangan yang berlarutan selama lima hari di sempadan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, usaha itu seolah-olah diperlekehkan termasuk oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang memuat naik hantaran dan gambar satira menampilkan figura hakim berupa monyet di hadapan biri-biri dan kambing yang berebutkan pisang dipercayai merujuk usaha tersebut.

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak Ahmad Fadhli memohon maaf secara terbuka, meskipun sudah memadamkan hantaran tersebut selepas dikecam pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast