KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) meminta supaya pengauditan pematuhan piawaian membabitkan penyembelihan daging eskport ke Malaysia tidak lagi dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim)
Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, negara itu meminta ia dilaksanakan olej dua badan halal yang telah diiktiraf oleh Jakim di AS.
“Permintaan daripada AS supaya audit tidak lagi dibuat oleh JAKIM tetapi dibuat oleh badan yang diiktiraf oleh JAKIM,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ambulans Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut beliau, langkah tersebut bagi memudahkan proses pengesahan halal di negara berkenaan memandangkan terdapat banyak syarikat penyembelihan yang terlibat.
“Katakan ada 10 atau 20 syarikat penyembelihan, sebelum ini Jakim perlu turun audit setiap satu. Sekarang, bila dua badan ini buat audit, Jakim hanya perlu semak dan terima hasil audit itu,” jelas beliau.
Bagaimanapun katanya, Jakim tetap akan melaksanakan audit berkala terhadap dua badan halal berkenaan sebagai langkah pemantauan untuk memastikan piawaian halal Malaysia sentiasa dipatuhi.
“Dulu audit dibuat kepada semua syarikat, sekarang fokus hanya kepada dua badan yang telah diberi pengiktirafan oleh JAKIM,” tambahnya.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, semua produk dari AS yang mahu masuk ke negara ini, masih wajib mematuhi standard halal ditetapkan oleh JAKIM.
Beliau turut menafikan laporan media asing yang mendakwa Malaysia sanggup berkompromi isu pensijilan halal kepada produk AS dalam rundingan tarif timbal balas dengan AS.
Tengku Zafrul berkata, perkara yang telah dipersetujui hanyalah untuk memudahkan proses pengimportan daging halal ke Malaysia dan proses ini akan dikendalikan oleh Agensi Peraturan Halal AS. – MalaysiaGazette
















