KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digesa menjelaskan kelebihan menaikkan tarif air sebanyak RM1.60 bagi setiap meter padu di negeri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, ia dilihat tidak signifikan apatah lagi selepas kerajaan persekutuan telah memberikan komitmen menyalurkan geran sebanyak RM436.5 juta kepada Kerajaan Negeri Perlis untuk menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water (NRW) kepada 35 peratus sehingga tahun 2029.

“Rakyat Perlis mahukan penyelesaian kepada masalah perkhidmatan air di negeri ini.

“Apakah jaminan Mohd Shukri untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh baki penggal pentadbiran yang ada,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Noor Amin menempelak Menteri Besar negeri itu yang sebelum ini memberikan komen sinis terhadap pengumuman penurunan harga minyak sebanyak 6 sen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam kenyataannya yang dipetik media, Mohd Shukri berkata jika turun 60 sen barulah menarik,” katanya lagi.

Tambahnya, respon Mohd Shukri seolah-olah menidakkan NRW di Perlis yang masih tinggi dalam negara.

“Berdasarkan data umum yang ada, jumlah NRW di Perlis berada pada tahap 61.5 peratus pada tahun 2022, meningkat kepada 62.0 peratus pada tahun lalu,” ujarnya.

Sebagai rekod baru-baru ini, caj perkhidmatan air di negeri-negeri telah diumumkan dan menyaksikan Perlis mengalami kenaikan caj tertinggi sebanyak RM1.60, iaitu daripada RM7.20 kepada RM8.80 bagi setiap meter padu air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast