KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya menarik kehadiran lebih 2.1 pengunjung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Datuk Banuri Aris berkata, kehadiran itu mencapai sasaran penganjuran karnival usahawan itu yang menetapkan dua juta pengunjung pada awalnya.
“Kita telah menghimpunkan dengan kiraan kasar petang tadi seramai kira-kira 2.1 juta pengunjung dari hari pertama 30 Julai hingga hari ini, 3 Ogos sehingga pukul 5 petang tadi.
“Sasaran kita hanya dua juta, alhamdulillah kita telah mencapai sasaran,” katanya pada sidang media di MITEC hari ini.
Banuri juga berkata, karnival sepanjang lima itu juga berjaya melakukan sebanyak 209 juta padanan perniagaan.
“Kita menyasarkan lebih kurang 209 juta padanan perniagaan kita setakat ini, tetapi sehingga petang tadi, kita dapat himpunkan 200 juta setakat 5 petang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, karnival mega itu juga berjaya mencipta rekod baharu pada tahun ini membabitkan tujuh acara, masing-masing enam dari Felda dan satu dari KKDW.
“Antara acara yang mencipta rekod baharu MBOR ialah acara menarik bas persiaran,” katanya.

Selain itu, karnival mega itu juga berjaya meraih jualan tunai berjumlah RM6.9 juta sepanjang lima hari penganjuran program itu.
“Urusan perniagaan tunai usahawan dalam program lima hari ini sasaran kita RM6 juta tetapi sehingga 5 petang tadi, kita telah himpunkan program jualan tunai sebanyak RM6.9 juta.
“Ini bermakna sasaran-sasaran yang digariskan pasukan tiga dimensi ini telah menepati dan program ini kita anggap satu kejayaan baharu dalam kita merangka kelestarian usahawan-usahawan Bumiputera daripada SGSI dan juga usahawan daripada Felda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















