KUALA LUMPUR – “Cukuplah. Saya faham anda semua ahli politik,
kita boleh bergurau tentang wanita tapi ada batasnya jangan melebihi batas.”
Demikian kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum bermulanya sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) hari ini.
Ingatan itu disuarakannya selepas RSN Rayer (Jelutong-PH) menerusi Peraturan Dewan 36(6) mengingatkan larangan untuk ahli dewan menggunakan bahasa kurang sopan, biadap dan membuat kenyataan seksis.
“Saya ingin membuat permintaan ini sebelum perbahasan bermula hari ini, supaya mana-mana pihak sama ada sebelah sana atau terutamanya sebelah sana, menghina wanita dengan membuat analogi haiwan,” katanya.
“Ini adalah permintaan saya, Ahli Parlimen Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man-Perikatan Nasional) hadir, saya minta perkara ini diambil maklum, jangan benarkan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Johari kemudian berharap supaya isu ucapan seksis diselesaikan dengan baik sekiranya ia berlaku di luar Dewan Rakyat.
“Ingatan itu baik, seelok-eloknya di depan kita, memang seluruh masyarakat menonton kita. Apa yang berlaku di luar bukan dalam kawalan saya jadi selesaikan di luar.
“Cuma betul saya ingatkan haruslah menjaga tatatertib dan penggunaan perkataan supaya boleh mengelakkan kekeliruan. Saya setuju kita tidak mengungkapkan perkataan yang tidak elok,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN) kemudian mencelah menyifatkan kata-kata Rayer sebagai sangkaan jahat kerana menunjukkan seolah-olah pembangkang pernah menghina wanita.
“Peraturan 36(6) Cara disampaikan kepada rakyat Malaysia seolah-olah dia (Jelutong) hero dan kami ini pula menghina wanita, ini sangkaan jahat. Paling jahat dalam dunia.
“Sangkaan ini juga berbentuk biadap mana boleh cakap begitu, kami adalah pencinta wanita, dia cakap ibu dia wanita mana boleh cakap begitu, seolah-olah dia (sahaja) hero,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi dikecam selepas menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan lembu betina.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.
Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.
Kemudian Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas dengan berkata kenyataan Salman perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan bukan bertujuan menghina wanita.- MalaysiaGazette
















