Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri membuat permohonan maaf  dan menarik balik dakwaan kononnya beliau pernah menyokong pemberian subsidi RON95 kepada warga asing.

Muhyiddin menegaskan, jika tidak, beliau tidak akan teragak-agak mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah kepadanya dalam Dewan Rakyat.

“Saya cuma nak nyatakan ini saya sedar, sebagai sahabat dia juga manusia biasa, cuma jawatannya tinggi, saya pernah berada di situ.

“Mungkin sudah berlaku kesilapan (tapi) agak susah sebagai Perdana Menteri nak kata “Muhyiddin, sorry salah, dia boleh cakap begitu dan kemudian okaylah.

“Saya cuma minta Tambun (Anwar) mohon maaf sahaja. Tarik balik kenyataan itu, saya rela saya terima maafnya sekarang juga,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan dan membidas Anwar kerana mengemukakan butiran palsu di Parlimen.

Selain itu, beliau bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN) bahawa Ahli Parlimen Tambun itu wajar digantung selama enam bulan kerana mengeluarkan kenyataan tidak benar dalam Dewan Rakyat.

Muhyiddin juga senada dengan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (PN) bahawa Perdana Menteri itu tidak membuat semakan terperinci sebelum hadir Parlimen.

“Saya setuju dua-dua (gantung enam bulan dan tidak buat semakan). Memang tidak buat homework saya tahu dari mana dia dapat maklumat itu, dari sumber palsu. Perdana Menteri ambil sumber palsu bercakap dalam Parlimen. Amat memalukan.

“Sahabat baik juga itu, tapi politik ini bukan soal sahabat, kenyataan yang tidak betul mesti dibetulkan,” tegasnya.

Malah beliau hairan selepas mendapat tahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mengambil keterangannya untuk menyiasat isu berkenaan.

“Saya nak maklumkan saya dapat tahu hari ini SKMM (MCMC) panggil saya untuk siasat, kata nak ambil keterangan saya sebagai saksi, saya nak tanya kepada MCMC siasat Perdana Menteri atau tidak?

“Ini satu bentuk penyalahgunaan kuasa pasal ini isu peribadi dibangkitkan Tambun kepada saya tapi diarahkan SKMM siasat (saya) bagi saya tidak berapa kena tu. Saya dah keluar kenyataan (saya tidak pernah kata),” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin sekali lagi mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti sahih yang mengatakan kononnya bekas Perdana Menteri itu menyokong subsidi RON95 kepada warga asing

“Saya telah tegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali, saya ulang tidak benar, carilah di mana-mana dunia siber tidak akan ada kenyataan saya sebegitu. Bermakna apa yang telah disebut Tambun nyata suatu fitnah

“Kalau di dewan ini dia ada imuniti, Allah tidak beri imuniti, fitnahnya hukumnya haram dalam dewan di luar pun hukumnya sama haram,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast