KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan pekerja-pekerja Gig mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang memberikan manfaat perlindungan khususnya akibat kemalangan dan hilang upaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menerusi Perkeso akan memperhebatkan kempen kesedaran agar lebih ramai pekerja Gig membuat caruman.
“Pada peringkat awal, kita menggalakkan pencaruman itu dilakukan, tetapi sekiranya tiada pencaruman, kita akan cari jalan supaya caruman dibuat demi kepentingan pekerja Gig.
“Kempen kesedaran telah dilakukan, kerana caruman ketika ini agak rendah dan kita harap ada satu kempen secara besar-besaran akan terus dilakukan oleh Perkeso.
“Ketika ini, hanya 188,000 individu p-hailing yang mencarum, manakala 32,000 individu e-hailing mencarum dari 1.2 juta pekerja Gig, ertinya ramai yang tidak mencarum,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke sesi Teh Tarik Industri Gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, petang tadi.
Selain itu, kerajaan sedia mempertimbangan cadangan untuk mewujudkan dana khas selepas Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM) diwujudkan di Parlimen, 26 Ogos ini.
“Namun pencaruman itu, kita harus sedar ada keterbatasan industri dari segi pulangan yang akan diberikan hanya RM42.30 sehari.
“Kami merasakan apabila ada cadangan pengwujudkan dana, maka SEGiM yang akan melihat tentang pengwujudan dana untuk dibayar sama ada secara sekali gus atau pembayaran secara berperingkat difikirkan SEGiM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















