KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C kerana disyaki melanggar syarat lesen, kira-kira 2.6 batu nautika timur Pantai Sepat, pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 8.30 pagi oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Makmur dan Preventive Search and Rescue (SAR).
”Ketika operasi dijalankan pihak Maritim Malaysia mengesan VNT tersebut dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menuju ke muara Sungai Kuantan.
”Pemeriksaan ke atas vesel tersebut mendapati ia dikendalikan oleh empat kru warga Myanmar, termasuk seorang tekong dalam lingkungan umur 33 hingga 48 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Manakala hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada mereka hanya memiliki salinan pasport, dan dua lagi mempunyai pasport asal.
Bagaimanapun kesemua kru didapati tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta melanggar syarat lesen iaitu tidak mempunyai permit kerja yang sah. Kes akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya vesel dan kesemua kru bersama peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi serta hasil laut anggaran lebih kurang 800 kilogram telah ditahan.
Kesemua barang rampasan dan dibawa masuk ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut.
Tindakan tegas yang diambil membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras aktiviti perikanan haram serta memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















