Datuk Rosni Zahari

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO kesal dan memandang serius tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima permohonan keahlian bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang kini sah menjadi ahli PKR Cabang Ampang.

Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari berkata, keputusan itu bercanggah dengan pendirian rasmi UMNO sebelum ini yang mana tindakan menerima ahli daripada parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan secara sewenang-wenangnya adalah tidak wajar dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan antara parti-parti dalam gabungan kerajaan.

Malah, jelasnya, Wanita UMNO juga menyokong penuh pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang menganggap tindakan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian Tengku Zafrul sebagai sesuatu yang tidak beretika.

“Wanita UMNO Malaysia berpendapat perpaduan dan kesetiaan antara parti-parti dalam gabungan perlu dijunjung tinggi demi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonan keahlian beliau menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas.

Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang dilaporkan berkata, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.

Terdahulu, Tengku Zafrul pada 30 Mei lalu, mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.

Sementara itu, Rosni berkata, tindakan PKR menerima Tengku Zafrul bukan sahaja menimbulkan prasangka buruk dan prejudis dalam kalangan ahli akar umbi, malah turut menjejaskan imej kesungguhan serta keikhlasan kerjasama yang selama ini dibina dengan penuh harapan.

“Sehubungan itu, Wanita UMNO Malaysia menegaskan agar semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya PKR menghormati semangat kesetiaan dan etika politik demi memelihara kestabilan serta keutuhan gabungan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast