Khlir Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor (Perikatan Nasional) mencadangkan supaya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik sebagai warden asarama bagi mengelakkan gejala buli yang kini dilihat semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ciri keperibadian veteran ATM dilihat sesuai untuk mengekang gejala buli.

Dalam masa yang sama tambah beliau, ia dapat membantu golongan tersebut selepas tempoh persaraan demi menampung kos sara hidup kerana menamatkan perkhidmatan lebih awal berbanding penjawat awam iaitu sekitar umur 40 tahun.

“Mengikut perintah Majlis ATM, bagi anggota lain-lain pangkat, mereka dikehendaki bertugas selama 21 tahun dan bersara sekitar umur 40 tahun dan diberi pencen sebanyak 50 peratus sahaja

“Justeru itu, apabila mereka bersara amat sukar untuk mereka meneruskan hidup kerana tidak bekerja dan pencen yang rendah serta tiada pengalaman lain melainkan ilmu peperangan sahaja.
Semasa bersara, kebanyakan veteran ATM ini mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak

“Sekiranya kerajaan tidak membantu mereka, sudah tentu mereka menghadapi masalah yang besar untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rayat, hari ini.

Terdahulu katanya, veteran ATM yang bersara lebih awal tidak mempunyai banyak kemahiran lain untuk mereka mencari pekerjaan di luar kemahiran mereka ketika berkhidmat.

Jelas Khlir, situasi itu menghadkan keadaan mereka mencari pekerjaan selepas tamat perkhidmatan untuk menampung kehidupan.

“ATM 24 jam bekerja bukan lapan jam. Anggota ATM dilatih untuk berperang dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi musuh dan mereka tidak didedah dengan ilmu-ilmu lain. Adalah menjadi kesalahan bagi anggota ATM membuat kerja-kerja sambilan semasa dalam perkhidmatan dan mereka boleh diambil tindakan tatatertib.

“Pencen anggota ATM pula tertakluk di bawah seksyen 187 Akta Angkatan Tentera 1972, sedangkan penjawab awam lain mempunyai akta perkhidmatan awam yang lain iaitu Akta Pencen 1980 dan Akta Pelarasan Pencen 1980,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast