Ir. Razali Kassim ketika membuat tinjauan di empat buah lokasi cadangan pembinaan Hospital Maran baru-baru ini.

MARAN – Kerajaan Pahang masih perhalusi dan mempertimbangkan empat cadangan tapak lokasi strategik bagi pembinaan Hospital Maran.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, tapak cadangan di Batu 55 di sini lebih sesuai berbanding tiga lagi lokasi cadangan pembinaan.

Ujarnya, faktor muka bumi di Maran yang berbukit memerlukan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti bagi pembinaan hospital di daerah itu.

”Tapak kedua di Batu 55 lebih sesuai kerana sebelum ini tapak tersebut pernah dibuat kajian awalan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), ia berdasarkan pada pendapat dan pemerhatian saya.

”Tapak keempat pula cadangannya di tanah individu yang perlu dibuat pengambilan tanah di simpang berhampiran Plaza Tol Maran tetapi sedia maklum di kawasan Maran ini lebih kawasan berbukit daripada tanah rata.

”Saya berharap JKR dapat mengkaji semula kos pembinaan dan jika dapat meminimakan kerja-kerja pemotongan bukit,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Isnin lalu, Ir. Razali telah melakukan tinjauan dan mendengar taklimat tapak cadangan pembangunan Hospital Maran oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran bersama jabatan berkaitan.

Menurutnya, sebelum ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan kepentingan kebajikan rakyat di negeri ini sentiasa diberi keutamaan pada 25 Julai lalu.

Susulan itu sebagai menjunjung titah tuanku, pihaknya meninjau kemajuan cadangan projek Hospital Maran serta menyelaraskan isu-isu pelaksanaan projek yang timbul.

Menurutnya luas tapak yang diluluskan oleh kerajaan seluas 35.4 ekar (14.33 hektar) di mana spesifikasi bangunan empat tingkat dengan 76 buah katil dan banguan kuaters.

Difahamkan kelulusan peruntukan oleh Kerajaan Persekutusan ialah sebanyak RM400 juta.

Bagaimanapun kos dicadangkan oleh pihak JKR bernilai RM435 juta itu melebihi RM35 juta daripada kos sebenar.

Permohonan projek Hospital Maran akan diangkat ke Kementerian Ekonomi pada Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-13 (RP3 RMK13) Tahun 2028. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast