Fadhli Umar Aminolhuda.

JOHOR BAHRU – Isu Jalur Gemilang dipasang terbalik tidak wajar dimainkan secara berlebihan hingga boleh dijadikan bahan membakar sentimen perkauman.

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pihak terbabit perlu berhenti ‘menunggang’ isu berkenaan untuk kepentingan politik sebaliknya membiarkan polis melakukan siasatan.

“Bagi kami, Jalur Gemilang mesti dimartabatkan selari dengan undang-undang dan biarlah pihak polis melaksanakan tanggungjawab mereka menyiasat sebarang pelanggaran.

“Janganlah bendera ini dijadikan bahan bakar sentimen perkauman. Negara ini sudah ada hukum, sudah ada undang-undang, jangan jadi lebih sudu daripada kuah hingga demi nampak relevan sanggup menunggang isu.

“Ini kerana yang menunggang akhirnya rebah dan yang terlalu mengacau kuah, hilang manis hidangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Kira-kira 500 ahli UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Sebelum ini Dr Akmal mempertahankan pendiriannya mengecam isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, Pemuda Amanah Nasional melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap tindakan Dr Akmal Salleh itu yang dianggap terus menghangatkan isu Jalur Gemilang.

Jelasnya, Exco kerajaan Melaka itu sudah dinasihatkan dan diarahkan untuk tidak berbuat demikian bukan sahaja oleh rakan komponen kerajaan Perpaduan malah oleh pihak polis sendiri.

Lebih mengecewakan, katanya, tindakan itu bukan sekadar meremehkan pandangan anggota kerajaan Perpaduan tetapi turut dilakukan seiring dengan parti lawan dan seakan menggadai semangat kebersamaan demi percaturan politik sempit.

“Ironinya, YB Akmal seakan lupa bahawa sayap Pemuda partinya sendiri, iaitu Pemuda UMNO Terengganu, baru-baru ini memuat naik gambar Jalur Gemilang secara terbalik dalam poster mereka.

“Seperti meludah ke muka sendiri, kesilapan sendiri belum ditebus namun pantas mencari salah orang lain.

“Dalam semangat membina jambatan dan perpaduan solusi pertengahan perlu dicari dan kami Pemuda Amanah Nasional bersedia menjadi orang tengah untuk mencari titik temu dan menyelesaikan perkara ini dengan hikmah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast