PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat tiba di sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim berangkat tiba dengan menaiki kenderaan diraja berwarna hitam manakala Raja Zarith Sofiah duduk di sebelah baginda.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 8 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta sorakan orang ramai.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.
Ia disusuli terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sejurus keberangkatan Seri Paduka Baginda di Pentas Diraja.
Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Mejar Khairul Fakhzan Zainol Abidin.
Orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal jam 3.30 pagi malah ada yang menginap di hotel berhampiran untuk mendapatkan tempat duduk terbaik untuk menyaksikan perarakan.
Menurut Jabatan Penerangan Malaysia, terdapat 15,000 tempat letak kereta, 8,000 tempat duduk bertingkat, 12 skrin LED disediakan untuk kemudahan orang ramai menyaksikan sambutan bersejarah ini.
Sebanyak 10,819 peserta dan 77 kontinjen, 92 ekor haiwan dalam perkhidmatan, 11 kereta berhias, 22 pasukan pancaragam, 328 aset darat, laut dan udara serta 22 unit aset kenderaan elektrik (EV). – MalaysiaGazette
















