KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan akan membincangkan bantahan UMNO terhadap parti gabungan yang membenarkan penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bantahan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Kerajaan Perpaduan sebelum hujung bulan ini.
“Kami akan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebelum akhir bulan ini, sebelum sambutan merdeka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan mengeluarkan nota bantahan kemasukan bekas ahli UMNO itu dalam parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.
Beliau berkata, notis tersebut kini sedang dilengkapkan.
Menurut beliau, bantahan itu telah disuarakannya kepada presiden parti gabungan dalam kerajaan dan ia sepatutnya menjadi satu konvensyen yang harus dihormati.
Khamis lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bercadang mahupun yang telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada UMNO ke dalam parti masing-masing.
Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan
Katanya, pendirian tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Sebelum ini media melaporkan Pakatan Harapan telah menerima penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam parti tersebut.
Pada 8 Ogos lalu, Tengku Zafrul yang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai parti PKR sudah diterima dan kini beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Tengku Zafrul telah mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO pada 30 Mei lalu. – MalaysiaGazette
















