PUTRAJAYA – Polis masih dalam proses mengenal pasti sama ada wujud dalang di sebalik penglibatan sindiket jual bahan lucah menerusi WhatsApp dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Unit Siasatan Jenayah Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) memerlukan sedikit masa bagi menjalankan siasatan secara terperinci mengenai kes berkenaan.
“Bila melibatkan kanak-kanak bila menguruskan kes kanak-kanak ada kaedahnya…Siasatan masih kita buat dan tentu ambil masa lebih sikit.
“D11 ada pelbagai kepakaran ia tidak macam kita urus kes biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2025 dan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Saifuddin semalam dilaporkan Dewan Rakyat mendedahkan polis berjaya menumpaskan sindiket jual bahan lucah WhatsApp diketuai budak 12 tahun.
Menurutnya, empat kanak-kanak didapati berpanar mencipta laman web lucah demi meraih pendapatan. – MalaysiaGazette
















