BUTTERWORTH – Prosiding kes seorang lelaki warga Vietnam yang berdepan lima pertuduhan termasuk cubaan mencederakan bayi berusia 11 bulan di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, pada 9 Ogos lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Penangguhan itu dibuat Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan jurubahasa Vietnam dilantik sebelum pertuduhan dibacakan pada tarikh baharu yang ditetapkan iaitu 9 September depan.
Tertuduh, Nguyen Minh Hoa, 36, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan manakala dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Selepas prosiding, tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah dengan menggunakan kerusi roda susulan dikatakan mengalami masalah gout.
Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu bertindak agresif apabila cuba melarikan diri selepas mencuri makanan laut sebelum menarik bayi berusia 11 bulan daripada pelukan ibunya sambil memegang sebilah pisau.
Lelaki berkenaan bertindak sedemikian ketika percubaan melarikan diri bagi mengelak ditahan penyelia pasar raya dan pihak keselamatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman mengesahkan suspek direman bermula 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















