PONTIAN– Polis membuka kertas siasatan berhubung pemasangan bendera Johor dalam keadaan terbalik di sebuah premis pasar mini di Jalan Abu Bakar Majid, Pekan Nanas sehingga tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

“Siasatan awal mendapati pemasangan bendera tersebut dilakukan tanpa niat untuk menghina atau tidak menghormati lambang kebesaran negeri Johor.

“Sebaliknya berpunca daripada kecuaian pihak pemasang. Pemilik premis juga telah tampil memberikan kerjasama sepenuhnya dan tindakan segera diambil bagi membetulkan kedudukan bendera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen Akta Lambang dan Nama (Kawalan Mempamer) 1949 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum serta mengganggu ketenteraman awam.

Mohammad Shofee berkata, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri perlu sentiasa mematuhi tatacara yang betul sebagai tanda penghormatan kepada kedaulatan negara dan negeri.

“Orang ramai dinasihatkan lebih peka serta memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul, terutama sempena bulan kemerdekaan.

“Polis akan terus menjalankan pemantauan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang boleh menimbulkan keresahan awam atau dianggap tidak menghormati simbol negara serta negeri,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 47 saat dalam media sosial memaparkan bendera Johor dipasang terbalik sebelum dibetulkan semula.

Pada minggu lalu, polis turut membuka kertas siasatan susulan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian yang turut tular.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Tangkap layar video yang tular memaparkan bendera Johor dipasang terbalik di sebuah premis pasar mini di Jalan Abu Bakar Majid, Pekan Nanas, Pontian

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. tutup je kedai tu … tk guna ada dlm Johor….sengaja je tu sedang kan bendera mana ada lobang…. lobang Dari bawah bkn atas….

Comments are closed.