Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, hadir bagi mendengar permohonan untuk gali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2025.

 

SHAH ALAM – “Sekurang-kurangnya kita tahu punca kematian (Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin) yang sebenar, itu kena tahu dulu sebelum fikir langkah seterusnya.”

Demikian kata ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang meninggal pada 28 Julai lalu itu.

Ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45  mengucapkan rasa syukur selepas langkahnya mengemukakan permohonan gali semua kubur dan bedah siasat kedua ke atas anak sulungnya itu dibenarkan mahkamah hari ini.

“Apa yang saya harapkan satu keputusan bedah siasat yang lebih telus dan tepat dan seterusnya satu siasatan yang telus dijalankan tanpa memihak, melindungi mana-mana pihak.

“Buat masa sekarang kita mahu tengok keputusan bedah siasat, itu langkah pertama dan usaha kami,” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, sedang bercakap dengan peguam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2025.

 

Syamsul disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.

Jenazah kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Ummu Haiman berharap Kementerian Pertahanan menjalankan semula siasatan terhadap Jawatankuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita telah kemukakan gambar-gambar dalam mahkamah, dan ia dijadikan lampiran dan wakil KDN (Kementerian Dalam Negeri) juga ada satu salinan gambar ini (arwah).

“Jadi saya harap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membuka balik siasatan,” ujarnya.

Terdahulu pada 13 Ogos lalu, Khaled dilaporkan berkata  siasatan jawatankuasa ATM mendapati tiada kesan kecederaan berunsur penderaan ditemukan pada tubuh seorang pelatih itu.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut turut memanggil seramai 30 saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat untuk diambil keterangan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast