Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo memohon maaf tanpa syarat kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain atas penyataan berbaur fitnah yang didakwa merendah-rendahkan beliau selaku pemimpin tertinggi pasukan polis ketika hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap blogger kontroversi, Papagomo selepas didapati menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi dalam kes saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, memutuskan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris melakukan dua pelanggaran injunksi iaitu masing-masing awal tahun ini dan pada Mei lalu dengan setiap pelanggaran membawa hukuman penjara 15 hari yang diperintah berjalan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, hukuman itu tidak akan dilaksanakan serta-merta selepas mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.

Antara syarat yang dikenakan ialah Papagomo perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya 29 Ogos ini, menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain melaporkan diri di Balai Polis Setapak pada setiap awal bulan sehingga semua proses rayuan selesai.

Mahkamah turut mengarahkan beliau membayar kos RM30,000 dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Kes penghinaan mahkamah ini berpunca daripada injunksi yang dikeluarkan pada 10 Januari lalu bagi menghalang Papagomo daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Razarudin di media sosial.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati permohonan maaf yang dimuat naik blogger itu pada 30 April lalu tidak memenuhi maksud sebenar perintah sebaliknya video berkenaan mengandungi teks laju disertakan muzik latar daripada filem klasik P. Ramlee Pendekar Bujang Lapok sehingga dianggap seolah-olah video hiburan.

Papagomo kemudian memuat naik video baharu sehari selepas permohonan maaf tersebut, menjelaskan tindakannya kepada pengikut media sosial.

Langkah itu kata mahkamah sebagai tidak dibuat dengan penuh penyesalan sebaliknya hanya bertujuan mengelak hukuman.

Techiong menegaskan permohonan maaf sepatutnya dilakukan secara jelas, ikhlas dan tanpa ulasan lanjut yang boleh menjejaskan integriti arahan mahkamah.

Prosiding penghinaan ini adalah sebahagian daripada saman fitnah bernilai RM3 juta difailkan Razarudin pada Disember tahun lalu terhadap Papagomo, berhubung kenyataan berbaur lucah yang didakwa dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan penuh saman itu ditetapkan berlangsung selama empat hari pada Disember 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast