KUANTAN – Seramai 2,813 orang pelajar Tingkatan Enam Semester 1 di 37 buah kolej dan Pusat Tingkatan Enam Negeri Pahang mendapat bantuan awal persekolahan (BAP).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, bantuan kali pertama untuk golongan itu diberikan berbanding sebelum ini hanya kepada pelajar dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5.

Manurutnya bantuan tersebut membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM421,950.
“Sebelum ini bantuan persekolahan awal bernilai RM100 dan tahun ini dinaikkan RM150.
”Pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutan kerana mengambil cakna keperluan pelajar.
”Paling beruntung, pemberian ini tidak mengira latar belakang dan pendapatan keluarga di mana semua pelajar tingkatan 6 layak menerimanya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Razali berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bantuan Awal Persekolahan Tingkatan Enam Negeri Pahang di Dewan Alif KTE Pra-universiti Astana, di sini, hari ini.
Beliau berharap niat baik kerajaan kepada pelajar untuk membantu meringan beban ibu bapa dapat dimanfaatkan oleh pelajar dengan membeli barang keperluan.
BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam buat pertama kali pada tahun 2025 sebagai usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membantu persediaan sekolah pra-universiti. – MalaysiaGazette
















