Dr. Mohamad Izwan Zainal

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah keras Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (RUU URA) 2025 yang dibentangkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan mendakwa ia sarat dengan unsur paksaan, pemusatan kuasa serta bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Pemangku Ketua Wiranya, Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, walaupun RUU URA 2025 digambarkan sebagai inisiatif memodenkan pembangunan bandar, namun ia dilihat sebagai cubaan menghakis hak rakyat serta peranan kerajaan negeri dan institusi Raja-Raja Melayu.

“RUU ini memberikan kuasa mutlak kepada Menteri KPKT melalui Jawatankuasa Eksekutif URA tanpa keperluan mendapatkan pandangan kerajaan negeri. Ini satu bentuk pemusatan kuasa yang mengabaikan prinsip federalisme serta menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dalam urusan berkaitan tanah,” katanya yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Sara Hidup Putra, dalam kenyataan hari ini.

Putra turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan mekanisme rayuan atau semakan kehakiman dalam RUU tersebut yang menurutnya bercanggah dengan Perkara 5, 8 dan 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna rakyat tidak lagi mempunyai saluran undang-undang untuk mempertahankan hak milik tanah mereka. Ia adalah penafian hak asasi secara terang-terangan,” tegas beliau.

Selain itu, Putra turut mendakwa RUU URA 2025 gagal melindungi Tanah Rizab Melayu dan tanah wakaf yang merupakan warisan penting umat Islam dan bangsa Melayu.

“Tiada jaminan bahawa tanah-tanah ini tidak akan diambil alih secara paksa. Ia bercanggah dengan Perkara 89 Perlembagaan yang menjamin kedudukan Tanah Rizab Melayu,” ujarnya.

Daripada aspek sosial katanya, Putra berpandangan RUU itu akan mencetuskan gelombang gentrifikasi yang bakal mengusir komuniti miskin bandar dari kawasan asal mereka.

“Pemaju akan meraih keuntungan besar manakala penduduk asal Melayu, Cina, India dan lain-lain akan kehilangan tempat tinggal tanpa pampasan setimpal,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan mengenai pampasan dalam RUU juga terlalu kabur dan berisiko merugikan rakyat.

“Pampasan tunai mungkin rendah, manakala rumah gantian pula mungkin tidak mampu dimiliki. Rakyat akhirnya akan hilang tanah dan tempat tinggal tanpa jaminan kehidupan yang wajar,” katanya.

Lebih membimbangkan, menurut beliau, RUU itu memberi kuasa kepada menteri untuk menurunkan ambang persetujuan daripada 80 peratus kepada 70 peratus atau 51 peratus.

“Ini membuka ruang kepada manipulasi politik dan tekanan terhadap rakyat kecil. Prinsip demokrasi diketepikan demi kelancaran agenda pemaju,” katanya.

Sehubungan itu tambah beliau, Putra menegaskan bahawa RUU URA 2025 bukan sekadar berkaitan pembangunan fizikal, tetapi menyentuh soal maruah, hak rakyat dan kedaulatan negara.

“RUU ini bercanggah dengan Perlembagaan, mengabaikan institusi Raja, memberi ruang manipulasi kepada pemaju besar, dan menjadi bentuk penjajahan bandar gaya baharu.

“Oleh itu, Putra mendesak agar RUU URA 2025 ditangguhkan serta-merta, dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, dan dibuka untuk penelitian serta pandangan awam secara menyeluruh,” tegas Dr Mohamad Izwan.

Putra turut menuntut jaminan jelas bahawa Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf dan hak rakyat akan dilindungi dalam apa jua bentuk pindaan pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast