PEKAN – Sekurang-kurang lima kes keracunan makanan berlaku di negeri Pahang sehingga bulan ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, kesemua berkenaan berlaku di sekolah membabitkan empat daerah di Pahang.

“Temerloh mencatatkan dua kes manakala Bera, dan Rompin masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.
Razali berkata demikian sejurus Majlis Peluncuran Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) Tahun 2025 sempena Moh Karnival Makmur Daerah Pekan 2025 Dataran Pekan Bandar Diraja di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 3,180 notis 32B dikeluarkan kepada pengusaha premis berkaitan kesalahan penyediaan dan pengendalian makanan di negeri ini berjumlah RM379,617 sehingga bulan Jun lalu.
Daerah Kuantan merekodkan kesalahan kompaun terbanyak iaitu sebanyak 71 peratus dari jumlah keseluruhan dengan 194 premis telah diarah tutup.
Mengulas lanjut katanya, DMMSNP yang pertama kali dianjurkan ini bukan sahaja akan memperkukuh aspek kebersihan dan keselamatan makanan, malah turut menambah nilai kepada khazanah kulinari negeri.
Usaha tersebut juga akan memastikan setiap premis makanan bukan sahaja menawarkan hidangan yang enak, tetapi turut menitikberatkan kebersihan fasiliti premis dan persekitaran premis makanan bersih dan sentiasa terjaga rapi.
Pendekatan ini memberi keyakinan kepada pengguna menikmati menu popular di Pahang, selain mempromosikan tempat makan menarik di sini.
”JKNP juga akan menyenarakan lima lokasi DMMSNP di setiap daerah menjadikan 55 premis di seluruh Pahang pada setiap tahun dengan meletakkan plat logo di setiap terpilih sebagai pengiktirafann
”Sebenarnya program ini banyak memberi manfaat, pertama kepada pengguna yang datang untuk mencuba menu-menu di Pahang dan keduanya, secara langsung membantu mempromosikan pelancongan.
”Ia juga menarik minat dan memberi keyakinan kepada pelancong datang ke negeri ini dan menikmati pelbagai jenis makanan di negeri Pahang ini, di samping membantu para usahawan,” katanya.
Jelas Razali apabila diberi pengiktirafan sebagai gerak atau restoran yang menyediakan makanan selamat, kedai tersebut semakin dikenali serta dapat meningkatkan lagi hasil jualan.
Program berkenaan juga memastikan keselamatan dan kebersihan makanan serta pematuhan terhadap semua aspek perundangan yang ditetapkan seperti kilang makanan, katerer, restoran, termasuk pengendali makanan. – MalaysiaGazette
















