KUALA LUMPUR – Tumpuan terhadap penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri perlu seiring dengan etika, khidmat dan sumbangan dalam memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, universiti di seluruh negara sedang mengorak langkah ke arah memastikan semua nilai tersebut berada di landasannya.

“Kesukarelawanan semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan pelajar. Inklusiviti menjadi panduan dalam reka bentuk program dan penglibatan komuniti.

“Pembelajaran berasaskan khidmat menghubungkan bilik kuliah dengan masyarakat. Usaha-usaha ini merupakan bahagian penting dalam cara kita membentuk pendidikan tinggi pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibaca Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mewakilinya pada majlis pelancaran buku dan penubuhan Institute of Internationalization and Asean Studies (INTAS), bersempena dengan Seminar Antarabangsa mengenai Masa Depan ASEAN: Mengemudi Regionalisme, Rekonsiliasi dan Pendekatan Semula di sini hari ini.

Jelas Anwar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong lima teras bagi menghidupkan nilai-nilai berkenaan.

Antaranya adalah pembentukan karakter merentasi kurikulum; galakan keilmuan yang berjiwa dan pembentukan pendidik.

“Kita menggalakkan Keilmuan yang Berjiwa iaitu penyelidikan yang dirangka untuk memenuhi keperluan sebenar dan menyokong kebaikan awam.

“Akhir sekali, kita memupuk Budaya Kampus Sejahtera di mana pelajar berkembang dengan sokongan terhadap perkembangan intelektual, emosi dan perkembangan sosial,” ujarnya.

Sementara itu, Zambry pada majlis yang sama turut merasmikan INTAS.

Ia merupakan institut yang berperanan dalam meneroka perspektif antarabangsa Bersama ASEAN melalui kajian strategik dan pelbagai disiplin ilmu.

Institut tersebut bakal menjadi pusat rujukan utama dalam bidang pemikiran Islam, falsafah dan pembangunan global.

“Ini merupakan satu institut untuk membuat kajian menyediakan kertas dasar tentang ASEAN secara keseluruhannya.

“Peranan Malaysia dalam ASEAN akan lebih cemerlang dan lebih fokus kerana ada institut yang memberi perhatian kepadanya,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast