KUALA LUMPUR – Akauntan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Nour Al-Din Tayser Mustafa Dababesh yang merupakan kakitangan MyCARE Gaza, Palestin dilaporkan syahid akibat serangan rejim Zionis pukul 2.30 petang semalam.
Perkara itu dimaklumkan Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada kepada Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) melalui applikasi Telegram.
Nour telah berkhidmat bersama MyCARE Gaza sebagai akauntan sejak awal penubuhan MyCARE pada 2014 dan bertanggungjawab menguruskan kewangan MyCARE di Gaza.
Beliau telah syahid bersama isteri, nenek, kakak dan dua anak kepada abangnya manakala empat anaknya yang turut tercedera kini menjadi anak yatim piatu akibat serangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar menyifatkan syahidnya Nour sebagai satu kehilangan besar dan amat tragis kerana allahyarham telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan setia berkhidmat sejak awal penubuhan organisasi tersebut.
“Dr Ziad melaporkan saban hari kawasan kejiranannya dibedil bom sehingga terdengar jeritan mangsa-mangsa dan kini rakan sekerja turut terkorban dan situasi sukar ini dirasai bagi seluruh warga MyCARE,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Juruvideo Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Anas Ashour yang bertugas di Gaza turut syahid akibat serangan rejim Zionis pada Jun tahun lalu.
Pihak antarabangsa terus memberikan tekanan kepada rejim Zionis Israel agar menghentikan pembunuhan ke atas rakyat Palestin, menghormati undang-undang antarabangsa, mengembalikan hak mereka dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sementara itu, Kamarul Zaman merayu seluruh rakyat Malaysia terus menitipkan doa buat rakyat Palestin.
“Semoga Allah sentiasa melindungi mereka dan kurniakan mereka kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















