KUANTAN – Kemasukan air laut ke dalam tasik selepas air pasang besar dipercayai menjadi punca kejadian banyak ikan mati yang berlaku di Tasik Taman Gelora, di sini dua hari lepas.
Menurut Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kemasukan air laut ini telah meningkatkan tahap kemasinan air, sekaligus mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik yang bersifat payau.
“Siasatan awal mendapati insiden ini berpunca daripada fenomena air pasang besar yang menyebabkan kemasukan air laut ke dalam tasik melalui empangan kecil (weir) berhampiran Tasik Taman Gelora.
“Perubahan mendadak ini dipercayai menjadi faktor utama kepada kematian beberapa spesies ikan liar yang hidup dan membiak secara semula jadi di tasik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MBK memaklumkan antara spesies yang terkesan termasuk ikan susu, tilapia, kapas, siakap merah dan beberapa spesies lain.
Sebagai tindakan segera, katanya pihak MBK telah melaksanakan kerja-kerja pengutipan dan pembersihan ikan-ikan mati di sekitar tasik bagi memastikan kawasan rekreasi kekal bersih dan selamat.
“Dalam masa yang sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan ujian kualiti air dan Jabatan Perikanan telah mengambil sampel ikan untuk analisis forensik (post-mortem) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian secara saintifik,” tambahnya lagi.
Keadaan itu akan terus dipantau dari masa ke masa dengan kerjasama rapat agensi-agensi berkaitan.
MBK turut menyatakan komitmennya dalam memastikan keseimbangan ekosistem serta kebersihan Tasik Taman Gelora sentiasa terpelihara untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung. – MalaysiaGazette
















