Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir ke Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas Kumpulan AmBank di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Thailand yang baharu, Anutin Charnvirakul memberi jaminan bahawa beliau akan mengekalkan kepercayaan terhadap Malaysia untuk terus menjadi pengantara dalam hubungan Thailand dan Kemboja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Anutin turut komited untuk menghormati semua komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu demi mengekalkan keamanan relatif di rantau ini.

“Perdana Menteri Thailand yang baharu memberi jaminan bahawa beliau meletakkan kepercayaan sama kepada Malaysia untuk meneruskan peranan sebagai pengantara antara Thailand dan Kemboja.

“Beliau juga berjanji akan menghormati semua komitmen kerajaan terdahulu bagi memastikan keamanan relatif dapat dikekalkan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas AmBank malam ini.

Dalam pada itu, Anwar melahirkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi dan kekuatan domestik Malaysia, memandangkan asas negara kekal kukuh dengan sokongan tenaga kerja muda yang rajin dan berdisiplin.

Menurutnya, sepanjang lawatan ke beberapa negara termasuk Perancis, Jerman, China, India, Brazil dan Afrika Selatan, beliau mendapati semua negara berkenaan memberi penekanan yang kuat terhadap inovasi.

“Pelabur melihat tenaga kerja Malaysia relatifnya lebih berdisiplin dan rajin. Kualiti ini amat penting untuk mengekalkan asas ekonomi negara,” tambahnya.

Anwar turut menegaskan bahawa kestabilan politik serta dasar ekonomi yang jelas memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast