LENSA politik tanah air hujung minggu ini akan beralih tumpuan kepada penganjuran Muktamar Tahunan Pas Kali ke-71 yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Sebagai sebuah parti politik dengan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di negara ini, Pas mempunyai pengaruh dan impak besar dalam menentukan hala tuju dan masa depan politik negara.
Apatah lagi, muktamar kali ini berlangsung dalam situasi parti politik itu sedang mempersiapkan dan memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya di beberapa buah negeri, seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) tidak lama lagi.
Bagi menyoroti perjalanan muktamar Pas kali ini, MalaysiaGazette mendapatkan pandangan pemerhati politik, Muhammad Ehsan Shaari yang juga Pegawai Penyelidik, Yayasan Kedah Sejahtera.

MalaysiaGazette: Apa yang membezakan muktamar Pas kali ini berbanding tahun-tahun lalu?
Muhammad Ehsan: Muktamar kali ini dilihat lebih signifikan dalam kelangsungan politik Pas sebagai sebuah parti yang dominan dalam Perikatan Nasional (PN).
Apatah lagi, Pas juga mempunyai jumlah kerusi yang paling banyak berbanding parti-parti politik lain termasuk DAP.
Tambahan pula, muktamar kali ini akan menjadi penentu kepada PRU-16.
Daripada aspek pemilihan kawasan-kawasan, Pas kawasan secara konsisten telah memilih pemimpin-pemimpin yang berkredibiliti dari bawah sehingga ke peringkat dewan-dewan negeri.
Bagaimanapun, Pas perlu memandang serius dalam mendapat undi orang Melayu secara menyeluruh dan sebahagian undi non-muslim di Malaysia bagi mendapat legitimasi dalam memerintah Malaysia selepas PRU-16 nanti.
Strategi perlu diperinci bagi menambah undi dalam kalangan orang Melayu khususnya anak muda.
Selain itu, muktamar kali ini juga perlu memperhalusi kaedah bagi mendapat undi sebahagian masyarakat Cina dan India meskipun dilihat hampir mustahil, namun Pas perlu bertindak segera.
MalaysiaGazette: Apa agenda utama yang dijangka menjadi perhatian pada muktamar kali ini?
Muhammad Ehsan: Perhatian yang dijangka akan dibangkitkan dalam muktamar kali ini adalah berkaitan dengan servis (perkhidmatan) yang dilakukan wakil-wakil rakyat Pas.
Daripada sudut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya rasa tidak ada masalah yang signifikan untuk mereka memberi khidmat terbaik mereka kepada rakyat.
Hal ini kerana, bagi negeri-negeri yang dipimpin oleh PN seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ini tidak menjadi masalah besar kerana masing-masing mempunyai sumber kewangan yang kukuh dari segi pengagihan peruntukan mereka kepada rakyat.
Bagi ADUN di negeri-negeri lain selain dipimpin PN, mereka juga tidak mempunyai masalah besar dari sudut kewangan.
Namun bagi ahli-ahli Parlimen pembangkang, mereka berada di dalam keadaan yang sangat sukar apabila kerajaan menyekat peruntukan dan ini sukar bagi mereka untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Bagaimanapun sekatan yang dilakukan oleh kerajaan ini tidak memberi kesan yang mampu membuatkan mereka hilang kerusi pada PRU-16.
Malah rakyat sudah mula mempersoalkan kenapa kerajaan tidak memberi peruntukan ini kepada Ahli Parlimen yang dipilih mereka.
Perkara itu dapat diatasi oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dengan bantuan Pas kawasan-kawasan mereka yang bertungkus-lumus membantu ahli Parlimen mereka dalam memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.
Namun ahli-ahli yang berhormat perlu sedar, rakyat Malaysia sekarang melihat perkhidmatan yang baik daripada ahli-ahli yang berhormat dan jika perkhidmatan ini baik walaupun berdepan kesukaran, rakyat tidak teragak-agak untuk mengundi Pas pada PRU-16.
MalaysiaGazette: Muktamar kali ini berdepan kritikan selepas lima jawatan kanan dimenangi tanpa bertanding. Adakah ini satu bebanan kepada Pas?
Muhammad Ehsan: Melihat kepada situasi Pas, tidak pelik jika tiada pertandingan bagi lima jawatan penting termasuk pimpinan tertinggi dewan-dewan.
Perlu difahami, budaya Pas tidak sama dengan budaya parti-parti politik lain.
Pas membawa budaya tidak merebut jawatan malah tidak ada sekatan untuk ahli-ahli Pas bertanding bagi merebut jawatan tersebut.
Pas adalah sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam yang memupuk nilai-nilai Islam dalam parti Pas.
Saya mengambil dua contoh yang penting bagi pembaca membuat penilaian.
Yang pertama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Noor telah menarik diri daripada pemilihan jawatan Naib Presiden Pas.
Secara logiknya, Muhammad Sanusi boleh sahaja memenangi pemilihan tersebut dan mungkin akan mendapat undi yang lebih banyak berbanding pesaing-pesaing lain.
Namun beliau memilih untuk menarik diri dan memberi peluang kepada pesaing lain untuk menang tanpa bertanding.
Contoh yang kedua ialah calon Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Mohamed Sukri Omar yang juga dilihat berpotensi mencabar jawatan ketuanya.
Namun beliau menarik diri disebabkan oleh faktor-faktor tertentu dan membolehkan penyandang, Afnan Hamimi Taib Azamudden menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.
Kedua-dua senario ini mencerminkan Pas bukanlah parti politik seperti sangkaan ramai. Pas mempunyai acuan tarbiah yang kukuh dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam segala langkah politik mereka.
MalaysiaGazette: Bagaimana muktamar Pas kali ini memberi kesan kepada kerjasama dalam PN?
Muhammad Ehsan: Saya merasakan muktamar kali ini akan memberi kesan besar kepada PRU-16 terutamanya kepada PN.
Pas perlu membawa semula konsep ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ (BPMS) seperti dahulu jika hendak mendapat undi yang signifikan dalam PRU-16.
Pimpinan-pimpinan Pas perlu bertungkus lumus dalam pelbagai aspek dan sudut bagi memenangi hati rakyat pada PRU-16 nanti.
Dalam masa yang sama, Pas juga perlu meraikan setiap aduan dan cadangan yang dibangkitkan oleh akar umbi. Serta memperhalusinya bagi menjayakan agenda kemenangan Pas dalam PRU-16.
MalaysiaGazette: Apakah Pas berani menamakan poster boy mereka pada muktamar kali ini seperti dilakukan Bersatu?
Muhammad Ehsan: Saya rasa ini tidak menjadi masalah yang besar terutamanya apabila Bersatu seringkali mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai poster boy.
Dalam masa sama, walaupun PN dipimpin oleh Muhyiddin iaitu daripada parti Bersatu, ia tidak memberi kesan kepada Pas yang merupakan parti paling dominan dalam gabungan parti politik PN.
Malah semangat setia kawan Pas tidak boleh dipersoalkan sewaktu kerjasama Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dahulu. Pas sentiasa berpegang kepada matlamatnya dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana parti.
Setakat ini, Bersatu masih menghormati Pas dan tidak mengganggu matlamat perjuangan Pas.
Jika ada sedikit percakaran, itu perkara biasa dalam mana-mana pakatan atau kerjasama politik. Pergeseran kecil ini tidak bermakna kemusnahan malah jauh sekali kepada perpecahan.
Namun perlu diingat, Pas adalah parti yang sangat konsisten dalam perjuangannya serta matlamatnya yang jelas iaitu Islam.
Jika mana-mana parti yang cuba menyentuh matlamat ini, Pas tidak akan segan silu atau teragak-agak dalam meninggalkan pakatan ini. – MalaysiaGazette
















