Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kejadian serangan sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman disifatkan keji dan mesti dikecam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Beliau menegaskan, dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan penjawat awam itu perlu diberkas.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan menghormati hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian dengan perkara itu dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.

“Namun prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang.

“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalahguna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Sulizmie Affendy dilapor cedera di kepala selepas dipercayai dibaling batu semasa mengawal keadaan ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi itu cedera susulan berlaku ketegangan dan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak masuk ke kawasan operasi.

Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian kepala sebelum dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian berlaku ketika operasi diketuai bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

OCPD Dang Wangi cedera kena baling batu, operasi Kg Sungai Baru semakin tegang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast